EKONOMI

PAVILION MALAYSIA DI EXPO 2025 OSAKA JADI TUMPUAN PENGUNJUNG, FOKUS PERNIAGAAN STRATEGIK

01/05/2025 10:47 AM

Oleh Nor Hamzeela Md Hambali

KUALA LUMPUR, May 1 (Bernama) -- Pavilion Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran 1.5 juta pengunjung dan menjana peluang perdagangan dan pelaburan bernilai RM13 juta di Expo 2025 Osaka yang berlangsung dari 13 April hingga 13 Okt 2025, kata pengarahnya Ellyza Mastura Ahmad Hanipah. 

Beliau berkata sejak dibuka pada 13 April lepas Pavilion Malaysia telah menarik 251,077 pengunjung dengan purata pengunjung yang datang ke Pavilion Malaysia lebih kurang 12,000 setiap hari.

“Selain pengunjung antarabangsa, kami juga berharap semua rakyat Malaysia yang datang ke Jepun untuk datang ke Osaka dan singgah di Pavilion Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ekspo tersebut baru-baru ini.

Kedatangan pengunjung yang memberangsangkan ini menyerlahkan daya tarikan pavilion tersebut dan inisiatif strategik Malaysia untuk menarik pelawat global.

Matlamat ini disokong oleh strategi komprehensif yang melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang memfokuskan kepada pengaturcaraan perniagaan dan capaian antarabangsa.

Penyertaan Malaysia dalam Expo 2025 Osaka ini merupakan sebahagian daripada strategi yang lebih meluas untuk meningkatkan kehadiran global dan perkongsian ekonomi negara.

 

Tumpuan Ramai 

 

Pavilion Malaysia yang bertemakan “Weaving a Future in Harmony” (Menenun Masa Depan Dalam Harmoni), terbukti mendapat sambutan pengunjung dengan menyerlahkan komitmen negara terhadap pembangunan mampan, kepelbagaian budaya dan inovasi teknologi.

Reka bentuknya yang dicetuskan daripada benih hutan hujan, melambangkan pertumbuhan dan potensi, sekali gus memaparkan aspirasi Malaysia di pentas dunia.

Pavilion ini turut mengetengahkan siri minggu bertema, pameran dan dialog serta berperanan sebagai platform pencetus inspirasi kepada perubahan positif dan mewujudkan perkongsian bagi masa depan lebih mampan dan saksama.

“"Persembahan kebudayaan di pentas di luar pavilion terbukti menjadi tarikan utama pengunjung. Mereka yang pada mulanya tidak berniat memasuki Pavilion Malaysia, bertukar sebaliknya selepas menyaksikan persembahan di pentas utama.

"Mereka kemudiannya tertarik untuk meneruskan perjalanan ke Aras 2 bagi melihat pameran tetap kami," kata Ellyza Mastura. 

 

Perjalanan Kemampanan Malaysia

 

Tersergamnya Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka juga menarik pengunjung untuk menyelami perjalanan dinamik dalam menghayati visi negara untuk masa depan mampan serta makmur.

Menyerlahkan komitmen Malaysia terhadap ekonomi hijau, pembangunan bandar pintar dan inovasi teknologi, pavilion ini menggabungkan penceritaan bertenaga dengan pameran yang memberi impak.

Bercirikan pusat bandar yang sibuk sehinggalah landskap semula jadi yang tenang, warisan budaya Malaysia yang kaya terbukti diselitkan dalam reka bentuk pavilion.

Lebih daripada sekadar paparan idea, pavilion itu mengetengahkan perkembangan sebenar -- menampilkan teknologi hijau serba canggih, daripada penyelesaian tenaga boleh baharu kepada inovasi kehidupan pintar yang membentuk masa depan Malaysia yang mampan.

Pengunjung juga mendapat maklumat bagaimana kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital memacu peralihan eko negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju berfikiran ke hadapan di pentas global.

Pavilion itu turut menjadi lokasi dialog dan seminar berkaitan isu global yang mendesak, termasuk perubahan iklim, perdagangan antarabangsa dan kemunculan teknologi baharu yang menjadi platform bagi tujuan kerjasama, inovasi dan perubahan bermakna ke arah dunia lebih mampan dan terangkum.

 

Potensi Ekonomi dan Perniagaan

 

Ellyza Mastura menekankan bahawa Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka bukan sekadar untuk meraikan warisan budaya dan inovasi mampan, malah turut berperanan sebagai platform strategik untuk meninjau peluang perniagaan dan memanfaatkan potensi pelaburan.

Menerusi pertumbuhan ekonomi yang mantap serta lokasi yang strategik di Asia Tenggara, Malaysia berdiri sebagai hab penting perdagangan dan pelaburan serantau serta memainkan peranan yang semakin berpengaruh di arena global.

Antara matlamat utama pavilion ini adalah menggalakkan kerjasama antarabangsa. Sehubungan itu, pavilion berkenaan menampilkan ruang khas bagi jaringan perniagaan -- persekitaran yang ideal bagi perniagaan, pelabur dan korporat untuk berhubung, bertukar-tukar idea serta membentuk perkongsian strategik.

Melalui sesi libat urus sedemikian, Malaysia berusaha untuk memperkukuh kedudukan sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, dengan memanfaatkan keanggotaannya dalam Komuniti Ekonomi ASEAN untuk menarik minat pihak berkepentingan global.

Pavilion ini juga merupakan lokasi pertemuan bagi syarikat yang menyasarkan untuk meneroka atau berkembang di rantau ini terutamanya dalam sektor berpotensi tinggi seperti tenaga boleh baharu, teknologi pintar dan infrastruktur mampan.

 

 

Di Sebalik Tabir: Pasukan Malaysia 

 

Ellyza Mastura berkata kelancaran operasi Pavilion Malaysia di pameran ini disokong oleh pasukan berdedikasi melibatkan 26 kakitangan yang bekerja dalam dua syif iaitu 13 orang pada waktu pagi dan 13 lagi pada waktu malam bagi menguruskan pelbagai zon pameran dengan efisien.

Seramai 20 pekerja dari Malaysia telah diberikan tugas khas selama enam bulan bagi menguruskan ruang pameran pavilion ini.

Mereka dibahagikan kepada dua pasukan, dengan pasukan pertama akan menguruskan pavilion ini mulai April hingga pertengahan Julai manakala pasukan kedua bermula pertengahan Julai hingga Oktober bagi memastikan operasi kekal berjalan lancar dan memberikan perspektif baharu pada sepanjang acara ini.

Selain itu, antara program kebudayaan di pavilion ini menyaksikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menghantar kumpulan seni persembahan khas ke Osaka.

Kumpulan ini terdiri daripada 13 anggota (seorang koreografer dan 12 penari) yang mempersembahkan kekayaan dan kepelbagaian warisan budaya Malaysia melalui tarian tradisional dan kontemporari.

 

Tumpu Cabaran Kemanusian Sejagat

 

Ekspo Dunia 2025, yang diadakan berasaskan tema “Designing Future Society for Our Lives”, menghimpunkan 158 negara, menawarkan platform global untuk mengetengahkan inovasi dan ekspresi budaya bagi mengatasi cabaran paling mendesak manusia sejagat.

Acara berlangsung di Pulau Yumeshima di Teluk Osaka itu menjadi hab bagi lebih 150 negara dan organisasi, masing-masing menyumbang idea dan penyelesaian rintis untuk masa depan yang lebih mampan dan saksama.

Antara tarikan utama ekspo itu ialah “Grand Ring”, struktur kayu sepanjang dua kilometer yang mengelilingi kawasan pameran utama.

“Grand Ring” direka oleh arkitek terkenal Sou Fujimoto itu melambangkan perpaduan dan kepelbagaian, menawarkan pemandangan panoramik kawasan ekspo kepada pengunjung.

 

Astaka Inovasi dan Kemampanan

 

Antara pavilion yang mengagumkan adalah pavilion China, menonjolkan temanya “Building a Community of Life for Man and Nature -- Future Society of Green Development”.

Pavilion itu mencerminkan komitmen China terhadap keharmonian ekologi dan pembangunan mampan.

Berinspirasikan daripada sulur buluh tradisional dan direka bentuk menyerupai skrol kaligrafi yang tidak dilipat, pavilion itu meraikan warisan budaya China dengan menekankan kemajuannya dalam teknologi hijau.

Pavilion Kanada pula mengetengahkan tema “Regeneration”, melambangkan dedikasi negara itu kepada pemulihan dan pemeliharaan alam sekitar.

Reka bentuk luar pavilion itu, yang diilhamkan oleh fenomena semula jadi kepingan atau ketulan ais mencair yang terkumpul dan menyekat pergerakan air ketika pencairan berlaku pada musim bunga, membawa pengunjung ke kawasan dalam pavilion yang mesra dan menyerlahkan kepelbagaian, kreativiti dan usaha kemampanan oleh Kanada.

Dalam pada itu Pavilion Nordic, usaha kerjasama antara Sweden, Denmark, Finland, Iceland dan Norway menekankan nilai kepercayaan, kemampanan dan inovasi bersama.

Struktur kayu seluas 1,200 meter persegi itu direka untuk digunakan semula, mempamerkan komitmen wilayah Nordic terhadap seni bina yang mampan.

 

Kehadiran Global yang Pelbagai

 

Susulan penyertaan daripada lebih 150 negara, Ekspo Dunia 2025 menawarkan pelbagai pavilion yang   masing-masing mengetengahkan perspektif unik negara dalam menyumbang kepada kemajuan global.

Kalangan pengunjung boleh menikmati pengalaman merangkumi pelbagai inovasi teknologi, pameran kebudayaan dan paparan interaktif yang menyerlahkan pendekatan berbeza dalam usaha membina masa depan yang lebih baik.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan