GEORGE TOWN, 1 Mei (Bernama) -- Pengurusan Penang FC hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memberikan tempoh lanjutan kepada kelab bola sepak untuk memuat naik dokumen pelesenan kelab bagi musim 2024-2025 ke dalam sistem AFC CLAS hingga 10 Mei ini.
Pengurusan Penang FC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima keputusan Jawatankuasa First Instance Body (FIB) dan menghargai fleksibiliti diberikan kepada kelab-kelab yang menghadapi cabaran dalam memenuhi keperluan pelesenan, namun ia dibimbangi menimbulkan implikasi negatif sekiranya dijadikan kelaziman.
Menurut Penang FC, kelonggaran diberikan boleh menyebabkan kelab yang menghadapi masalah kewangan menangguhkan langkah penstrukturan atau penyelesaian masalah yang sepatutnya diambil segera.
“Tanpa tekanan tarikh akhir yang tegas, wujud risiko isu kewangan akan berlarutan dan menjadi lebih serius sehingga menjejaskan kelangsungan operasi kelab itu.
“Ini juga boleh memberikan kesan negatif kepada pemain, pegawai dan pihak berkepentingan lain seperti penaja serta penyokong yang mengharapkan kestabilan dan kebertanggungjawaban daripada pengurusan kelab,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Penang FC menyifatkan lanjutan tarikh akhir itu memberi kesan negatif kepada kelab-kelab yang telah bertungkus-lumus memastikan tarikh akhir untuk memuat naik dokumen pelesenan kelab bagi kitaran 2024-2025 dipatuhi.
“Perlu dititikberatkan bahawa dengan keadaan semasa yang penuh dengan onak dan duri dalam mencari dana untuk memastikan kelestarian perjalanan kelab-kelab, MFL hendaklah menghargai kelab-kelab yang telah mematuhi tarikh akhir tanpa gagal,” katanya.
Selain itu, pengurusan Penang FC bimbang mengenai ketidakseimbangan dalam persaingan sekiranya kelab yang tidak memenuhi keperluan kewangan dan pentadbiran tetap dibenarkan untuk bertanding dalam liga manakala kelab yang telah berusaha untuk menepati segala syarat pelesenan serta tepat pada masanya mungkin terjejas atau berada dalam kedudukan tidak adil yang mungkin boleh menjejaskan kredibiliti liga secara keseluruhan.
“Ini bukan sahaja merendahkan piawaian industri bola sepak tempatan, malah boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa, khususnya dalam konteks pelesenan kelab di bawah naungan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)” menurut kenyataan itu.
Semalam, Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam kenyataan memaklumkan bahawa keputusan untuk melanjutkan tarikh itu dibuat susulan permohonan beberapa kelab yang meminta lanjutan masa bagi melengkapkan dokumentasi pelesenan mereka.
-- BERNAMA