AM

KELANTAN LANCAR TABUNG BINA RUMAH BAHARU MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG KIJANG

01/05/2025 07:10 PM

KOTA BHARU, 1 Mei (Bernama) -- Kerajaan Kelantan sedang mengadakan perbincangan untuk mencukupkan dana berjumlah RM500,000 bagi Tabung Kutipan Derma membina semula lapan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kijang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata setakat ini, kutipan tabung itu mencecah hampir RM100,000.

“Kesemua mangsa kebakaran terdiri daripada golongan miskin dan tapak rumah mereka pula hanya disewa. Justeru, tabung ini dilancarkan selepas perbincangan bersama Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

“Kita dalam usaha mendapatkan lapan unit Rumah Dhuafa’ di Kampung Badang yang dibina oleh kerajaan negeri. Kutipan tabung ini akan digunakan untuk pembinaan rumah itu bagi menyediakan tempat tinggal baharu kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Kutipan Derma untuk Lapan Buah Rumah Terbakar di Kampung Kijang di sini hari ini.

Izani berkata pihaknya sedang mempertimbangkan pembinaan Rumah Dhuafa’ bernilai RM45,000 sebuah yang dijangka siap pada Ogos ini.

“Kita meletakkan tempoh sebulan untuk mengumpulkan dana dan berharap kutipan itu mencukupi bagi menampung kos pembinaan.

“Bagaimanapun, pembinaan rumah ini bergantung kepada dua faktor iaitu jumlah kutipan yang berjaya dikumpulkan serta kemampuan kontraktor untuk memberi kelonggaran dalam tempoh pembayaran,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan rumah sewa sementara untuk didiami lapan keluarga terjejas bagi tempoh tiga bulan, dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Pada 28 April lepas, media melaporkan lapan rumah di Kampung Kijang musnah dalam kebakaran pada pukul 4.40 petang membabitkan 31 mangsa.

Sementara itu, mangsa kebakaran Mat Husin Sulaiman, 64, yang juga seorang nelayan berharap agar ada pihak yang dapat mempercepatkan proses pembinaan rumah memandangkan mereka kini menumpang di rumah jiran dan saudara-mara.

“Kami sangat berharap ada tempat berteduh yang lebih selesa. Ketika kejadian, saya hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang selepas melihat api mula marak masuk ke dalam rumah,” katanya yang mempunyai lapan orang anak.

Seorang lagi mangsa Yah Che Ngah, 60, ibu tunggal kepada enam anak berkata dia kini menumpang di rumah jiran dan sedih mengenangkan rumah berusia lebih 40 tahun musnah dalam kejadian itu.

“Saya berharap ada rumah yang lebih selesa untuk kami berteduh. Buat masa ini saya akan mencari rumah sewa, tetapi berharap ada kediaman tetap untuk kami selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan