AM

GEN Z UBAH BUDAYA TEMPAT KERJA, UTAMAKAN TUJUAN BERBANDING JAWATAN - PAKAR MODAL INSAN

01/05/2025 10:36 PM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Generasi Z (Gen Z) atau dikenali sebagai ‘Zoomers’, mungkin paling muda dalam sektor tenaga kerja tetapi golongan inilah yang telah mengubah budaya tempat kerja dan tidak menjadikan jaminan pekerjaan atau jawatan berprestij sebagai matlamat utama, menurut pakar pengurusan modal insan.

Ketua Modal Insan Kumpulan Padiberas Nasional Bhd S. Prakash berkata Gen Z, iaitu generasi digital pertama yang lahir antara akhir 1990-an dan awal 2010-an, tidak hanya mencari kerja tetapi mahukan peranan yang lebih bermakna seiring dengan nilai dan gaya hidup yang diharapkan mereka. 

Beliau berkata Gen Z lebih fokus kepada impak sosial, kesejahteraan mental dan pembangunan diri berterusan, nilai yang telah mendorong majikan melihat semula maksud sebenar ‘bekerja’, iaitu bukan sahaja mengenai gaji tetapi juga pengalaman kerja yang lebih seimbang dengan kehidupan.

“Berbeza dengan generasi sebelumnya seperti  Gen X dan Millennials, Gen Z sering dilihat lebih lantang dan sensitif dari segi emosi, malah kadangkala dilabel sebagai ‘manja' namun mereka lebih cederung memilih pekerjaan yang memberi makna dan fleksibel berbanding mengejar jaminan kerja atau jawatan tinggi dalam syarikat. 

“Meskipun sering diberikan tanggapan atau label tertentu, Gen Z kini memainkan peranan penting dalam dunia pekerjaan dan sedang mengubah cara kita bekerja dan berhubung di tempat kerja,” katanya kepada Bernama.

Dengan 15 tahun pengalaman dalam pengurusan modal insan dan sumber manusia, Prakash mendapati bahawa Gen Z lebih berjaya jika berada di bawah ketua yang dapat memberi tunjuk ajar bukan mengawal, dan tidak teragak-agak untuk meninggalkan organisasi yang tidak selari dengan nilai hidup mereka.

“Satu daripada soalah yang paling biasa ditanya oleh Gen Z semasa temuduga ialah ‘apakah sumber pembangunan dan sokongan yang akan saya terima bagi jawatan ini?’. Mereka ingin tahu apa yang mereka dapat selepas itu, bukan hanya dalam lima tahun tetapi juga tugasan seterusnya selepas diterima berkerja.

“Apabila idea mereka ditolak, mereka tidak menerimanya bulat-bulat sebaliknya mereka mahukan penjelasan, perbincangan dan pilihan cadangan yang lebih baik. Mereka juga mengharapkan tempat kerja yang menyokong potensi diri secara berterusan, dengan pengurus yang mampu membimbing bukan hanya mengarah. Mereka juga menghargai maklum balas dan ruang untuk menyumbang dengan lebih bermakna,” katanya.

Prakash, yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan organisasi dan pengurusan perubahan berkata Gen Z mengutamakan fleksibiliti, sama ada berkerja secara jarak jauh, waktu kerja anjal atau kebebasan dalam menyelesaikan tugas, selain tidak gemar dikawal secara keterlaluan. 

Beliau berkata walaupu Zoomers kadangkala disalah anggap sebagai antisosial atau sukar menangani tekanan, mereka sebenarnya responsif terhadap interaksi yang jujur dan maklum balas yang membina, asalkan ia disampaikan dengan empati dan secara hormat.

“Gaya kepimpinan yang terbaik bagi Gen Z ialah komunikasi yang berlandaskan matlamat, sokongan berorentasikan bimbingan dan pemerkasaan berasaskan kepercayaan. Gen Z tidak menunggu untuk syarikat berkembang, sebaliknya mereka lebih bersifat keusahawanan dan tidak takut untuk mencipta jalan mereka sendiri dengan meneroka usaha baharu,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Mohammad Rizan Hassan menafikan dakwaan bahawa Gen Z adalah pekerja bermasalah, sebaliknya beliau berkata golongan itu mempunyai potensi besar jika diberi latihan yang betul, bimbingan yang tepat, dan ruang untuk menyerlah. 

“Sebenarnya bukan mereka bermasalah tapi cara kita memahami mereka yang perlu berubah. Gen Z mahukan pendekatan kerja yang bermakna, komunikasi yang telus dan peluang untuk menyumbang secara aktif.

“Mereka tidak mudah tunduk kepada sistem yang tidak adil atau ‘old school’ (cara lama) Kita perlu bina konsep ‘kerjasama belia-dewasa’ (YAP) di tempat kerja, saling dengar dan saling menghormati,” katanya. 

Mohammad Rizan berkata belia masa kini secara umumnya lebih peka tentang keseimbangan kerja, kehidupan dan kesejahteraan mental selain menghargai masa peribadi, keluarga, dan kesihatan emosi melebihi struktur kerja yang kaku.

“Ini bukan satu kelemahan, sebaliknya ia mencerminkan generasi yang mahu hidup dengan lebih sihat dan produktif. Mereka cenderung memilih syarikat yang menghormati waktu rehat, ada budaya kerja sihat dan fleksibiliti masa,” katanya.

Beliau berkata pandangan hidup Gen Z juga dipengaruhi oleh peningkatan kos sara hidup dan terhakisnya konsep jaminan kerja jangka panjang, terutama selepas menyaksikan apa yang dikatakan sebagai pekerjaan ‘stabil’ ibu bapa mereka ada ketikanya gagal memberikan perlindungan berpanjangan.  

--BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan