Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat, diniagakan dalam julat yang lebih meluas dalam ketidaktentuan berterusan berikutan tarif global dan data ekonomi yang lemah, kata ahli ekonomi.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.3115/3310 berbanding dolar AS daripada 4.3130/3185 pada Rabu.
Pasaran Kuala Lumpur ditutup pada Khamis sempena cuti Hari Pekerja.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) Amerika Syarikat (AS) merosot kepada 48.7 mata pada April daripada 49.0 mata pada bulan sebelumnya berikutan perniagaan berdepan dengan impak tarif.
“Responden kaji selidik ISM menunjukkan kebimbangan dan kekeliruan mengenai peraturan tarif adalah meluas berikutan ia boleh memberi impak yang ketara terhadap kos operasi dan rantaian bekalan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tuntutan berterusan untuk faedah pengangguran di AS meningkat kepada 1.92 juta pada minggu berakhir 19 April daripada 1.83 juta pada minggu sebelumnya – paras tertinggi sejak 13 Nov 2011 – menunjukkan pasaran tenaga kerja yang lemah.
“Ia akan menjadi menarik untuk melihat bagaimana ini akan mempengaruhi mata wang pasaran sedang pesat membangun. Indeks Dolar AS (DXY) telah menunjukkan prestasi lembap dalam ketidaktentuan ini.
“Sementara itu, mata wang Asia mencatatkan prestasi yang baik walaupun terdapat kejutan tarif. Sehubungan itu, ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil antara RM4.31 dan RM4.32 berikutan aktiviti pengambilan untung,” katanya.
Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9663/9799 daripada 3.0142/0182 semasa ditutup pada Rabu, mengukuh berbanding euro kepada 4.8711/8932 daripada 4.9009/9071 dan meningkat berbanding pound kepada 5.7296/7555 daripada 5.7626/7699.
Bagaimanapun, mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2892/3046 daripada 3.3027/3074 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8529/9230 daripada 12.9066/9304.
Bagaimanapun, ringgit mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.76 daripada 7.72/7.73 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 260.0/261.3 daripada 257.9/258.4.
-- BERNAMA