JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA MAUT, KERETA TERBABAS LANGGAR PEMBAHAGI JALAN

02/05/2025 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Tiga lelaki maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban (BESRAYA) menghala ke tol Sungai Besi, berhampiran susur keluar Balakong, pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.57 pagi sebelum 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dan BBP Bukit Jalil bergegas ke tempat kejadian. 

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Shahrum Din berkata tiga mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu berusia lingkungan 30-an dan mengalami kecederaan parah.

“Bomba mengambil masa satu jam untuk mengeluarkan kesemua mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa dari arah pusat bandar raya melalui Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban itu hilang kawalan ketika mengambil susur ke kiri sebelum terbabas melanggar batu konkrit pembahagi tengah jalan.

"Mayat ketiga-tiga mangsa berumur dalam lingkungan 29 hingga 32 tahun dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata saksi yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan terbabit boleh tampil memberikan keterangan atau menghubungi Hotline JSPT Kuala Lumpur 03-2026 0267/0269.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan