AM

PM ANWAR ANJUR MAJLIS MAKAN TENGAH HARI RAIKAN PRESIDEN KOSOVO

02/05/2025 12:52 PM

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi sempena lawatan Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu di Kompleks Seri Perdana di sini.

Osmani dan delegasinya yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi empat hari, disambut di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11.15 pagi.

Sekumpulan 60 pelajar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (3) berpakaian seragam sekolah menyambut kedatangan presiden dengan senyuman mesra sambil mengibarkan bendera kedua-dua negara.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Terdahulu Osmani diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti pertemuan dua hala dengan Anwar.

Perbincangan itu tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, dan perhubungan antara rakyat, serta berkaitan Kepengerusian Asean 2025 Malaysia.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008, menjadi antara negara Asia terawal berbuat demikian. Hubungan diplomatik terjalin secara rasmi pada 18 Mac 2011.

Pada 2024, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo mencecah RM28.55 juta (USD6 juta) dengan eksport negara ke republik itu sebanyak RM25.92 juta (USD5.5 juta) dan import RM2.63 juta (USD550,000).

Eksport utama Malaysia termasuk minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta barangan perkilangan manakala import dari Kosovo kebanyakannya terdiri daripada bahan mentah dan batu permata.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan