BUTTERWORTH, 2 Mei (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan 66 projek bina baharu Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Rolling Plan 5 (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM2.4 bilion.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata selain itu, JKR menerusi Cawangan Kerja Kesihatan turut diberikan mandat untuk melaksanakan 170 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan kos RM16.47 bilion.
Ia meliputi fasa prapembinaan (perancangan) merangkumi 62 projek dengan anggaran kos RM4.05 bilion, manakala fasa pembinaan membabitkan 64 projek bernilai RM7.88 bilion.
“Fasa pasca pembinaan (projek siap) pula merangkumi 44 projek dengan kos RM4.54 bilion,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Blok Bertingkat Hospital Seberang Jaya di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Nanta berkata di bawah pelaksanaan RMK9 hingga RMK12 bagi Pulau Pinang, terdapat 12 projek dengan nilai keseluruhan RM1.31 bilion telah dilaksanakan oleh KKR.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi Pulau Pinang, fasa prapembinaan melibatkan lima projek dengan anggaran kos RM139 juta; fasa pembinaan pula melibatkan lima projek dengan kos RM781 juta, manakala dua projek yang telah siap melibatkan kos RM396 juta.
Mengenai Projek Pembinaan Blok Bertingkat Hospital Seberang Jaya, beliau berkata projek itu telah diserahkan kepada JKR pada 2016 dengan kos kontrak asal RM371 juta melalui kaedah reka dan bina.
Katanya projek pembinaan satu blok sembilan tingkat itu menyaksikan pertambahan kapasiti katil sebanyak 77 peratus daripada 413 kepada 729 katil, selain pembinaan jalan dan kawasan parkir di atas padang hospital sedia ada seluas 1.32 hektar.
Beliau menjelaskan, projek tersebut mengalami sedikit kelewatan berikutan beberapa cabaran, termasuk fasa pandemik COVID-19 pada 2020.
“Pembinaan projek ini juga mematuhi Pekeliling Perbendaharaan yang ditetapkan, dengan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS), serta memperoleh skor penilaian IBS melebihi 70 peratus,” katanya.
-- BERNAMA