SUBANG, 2 Mei (Bernama) -- Perolehan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) bermula tahun depan dijangka mempertingkat kesiapsiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mengawal perairan negara, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Beliau berkata perkembangan pembinaan aset itu adalah memuaskan dengan LCS pertama dijadual diterima pada Ogos tahun depan, manakala LMS pada 2027.
“Kerajaan sentiasa ingin meningkatkan keupayaan TLDM dan sebab itulah kita dapat lihat komitmen itu melalui perolehan LCS dan LMS. Selain memastikan TLDM memiliki aset, kita juga mahu ia dilengkapi teknologi tinggi yang memenuhi keperluan pertahanan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan studio digital di Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita mengenai cabaran dihadapi TLDM berikutan aset armada tempurnya yang semakin berusia.
Adly berkata kapal LCS pertama kini sedang melalui ujian di pelabuhan dan laut, manakala LMS sedang dalam pembinaan selepas perolehan daripada syarikat pertahanan Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), dimuktamadkan pada Jun tahun lepas.
Sementara itu, Adly berkata studio digital di SK TUDM Subang yang dinamakan Affin Digital Space merupakan sebahagian daripada Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) oleh Kementerian Pertahanan.
Katanya, studio itu antara lain dilengkapi teknologi layar hijau (green screen) untuk kegunaan pelajar dan pendidik melaksanakan program berasaskan media digital dan kandungan kreatif.
Menurutnya, SK TUDM Subang ialah SDK kedua terlibat dalam program itu selepas pembinaan studio seumpamanya di SK KEMENTAH, Kuala Lumpur tahun ini, manakala pelaksanaan seterusnya dijadual di Sekolah Kebangsaan Sir Sultan Ibrahim, Kluang, Johor pada Jun ini.
“Pelaksanaan studio digital di ketiga-tiga sekolah ini adalah hasil sumbangan Affin Bank berjumlah keseluruhan RM94,000 dan kementerian berharap ia dapat diperluas ke semua 27 SDK di seluruh negara,” katanya.
Hadir sama, ialah Ketua Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank Berhad Mohammad Fairuz Mohd Radi dan Guru Besar SK TUDM Subang Zatul Bazamah Abu Bakar.
-- BERNAMA