AM

TIADA ISU RAFIZI BERCUTI LAMA - PM ANWAR

02/05/2025 04:36 PM

BANTING, 2 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada isu berbangkit berhubung Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilaporkan sedang bercuti dalam suatu tempoh yang lama.

Menyifatkan permohonan cuti sebagai perkara biasa bagi seorang pekerja, Anwar berkata beliau juga sedang mencari masa sesuai untuk mengambil cuti.

“Beberapa hari sahaja cuti, bagilah... tak ada isu pun. Saya pun nak cari beberapa hari nak cuti,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Saujana Putra, di sini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan menyatakan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR bercuti sehingga 31 Mei ini, kerana tidak berpuas hati terhadap perjalanan pemilihan parti itu.

Perdana Menteri turut membayangkan yang beliau mungkin ingin mengambil cuti selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei.

“Saya pun belum ambil cuti, selepas sidang kemuncak ini boleh tak beri saya beberapa hari cuti,” kata beliau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan