AM

KPT PERKASA PENDIDIKAN TVET DIGITAL MENERUSI KOLEJ KOMUNITI PAPAR – ZAMBRY

02/05/2025 04:43 PM

PAPAR, 2 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sabah, khususnya dalam bidang pembelajaran digital dan logistik, menerusi penubuhan Kolej Komuniti Papar di sini.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pembangunan kolej komuniti itu, yang bermula sejak 2017 dan siap pada 2 April 2024 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, merupakan manifestasi iltizam kerajaan untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam arus kemajuan teknologi dan ekonomi digital.

Menerusi inisiatif Akademi Digital Sabah, Zambry berkata, kolej komuniti tersebut berpotensi menjadi platform untuk membolehkan lebih ramai penduduk daerah ini mendapat akses kepada pendidikan tinggi serta latihan kemahiran TVET dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) yang relevan dengan kehendak pasaran pekerjaan.

"Ia merupakan antara kolej komuniti yang mempunyai pengkhususan dalam bidang IT, malah kita telah memajukan program IT itu kepada bidang Kecerdasan Buatan (AI).

"Saya percaya ramai anak tempatan di kawasan ini akan mendapat peluang terbaik dari segi pekerjaan serta penguasaan kemahiran teknikal berkaitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolej komuniti itu, yang merupakan kolej komuniti kesembilan ditubuhkan di Sabah, hari ini.

Terdahulu, Zambry dalam ucapannya berkata, kursus ditawarkan Kolej Komuniti Papar, Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Perkhidmatan Logistik dengan ambilan pertama dijangka Julai ini - adalah strategik serta tepat pada waktunya bagi melahirkan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan industri.

Beliau berkata, ia bukan sahaja dapat melahirkan bakat digital dari Sabah untuk keperluan negara, malah turut membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada anak muda di kawasan luar bandar.

"Kolej ini akan berupaya meningkatkan mobiliti sosial dan pendapatan isi rumah melalui penyediaan kemahiran TVET berkualiti, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam bidang logistik dan ICT serta memperkasa belia Sabah sebagai peneraju industri digital Borneo," katanya.

Sementara itu, Zambry berkata kementeriannya akan memperkemas serta menyediakan kemudahan asas dan kemudahan pembelajaran yang lengkap di kolej komuniti sedia ada terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah menambah bilangan institusi tersebut di Sabah.

Ini termasuk penyediaan kemudahan asrama kepada pelajar, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman Semenanjung, walaupun pada dasarnya kolej komuniti tidak menyediakan kemudahan tersebut, katanya.

“Untuk perancangan masa depan, kita akan menilai keperluan di kawasan tempatan kerana dasar kerajaan adalah untuk memastikan kolej komuniti menjadi pusat penyediaan tenaga kerja di kawasan masing-masing,” katanya.

Setakat 31 Dis tahun lepas, terdapat 106 kolej komuniti di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 18,435 orang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan