EKONOMI

CAPITAL A TEROKA POTENSI PENYENARAIAN DI HKEX BAGI PERLUAS PERTUMBUHAN GLOBAL

02/05/2025 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Capital A Bhd memaklumkaN ia sedang giat meneroka potensi penyenaraian di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) sebagai sebahagian daripada strateginya untuk meluaskan akses kepada pasaran modal global dan meletakkan ekosistem perniagaan perkhidmatan digital dan penerbangannya untuk fasa pertumbuhan seterusnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes berkata rancangan itu adalah susulan mesyuarat kanan bersama HKEX,  dengan Capital A dijemput untuk meneroka kemungkinan penyenaraian di Hong Kong sebagai platform memanfaatkan kumpulan pelabur global dan Tanah Besar China.

Ini berikutan mereka dilihat mempunyai selera yang semakin meningkat untuk kisah pertumbuhan yang diterajui Asean dengan ketersambungan China yang kukuh.

"Penyenaraian dwi ini akan membolehkan kami menceritakan kisah kami di pentas global dan berhubung dengan pangkalan pelabur yang lebih luas, menghargai model perniagaan yang mengutamakan digital dan ringan aset," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan memanfaatkan lebih 20 destinasi di seluruh China dan pendedahan perniagaan yang ketara di rantau ini, Capital A melihat Hong Kong sebagai pintu masuk pasaran modal semula jadi.

“Perbincangan sedang berjalan, dan Capital A bakal melantik bank pelaburan antarabangsa untuk memberi nasihat mengenai cadangan struktur penyenaraian dan garis masa.

“Rancangan untuk memulakan proses rasmi kekal tertakluk kepada penilaian dalaman dan kelulusan kawal selia,” katanya.

Capital A menekankan bahawa HKEX kekal sebagai bursa pilihan bagi syarikat-syarikat ASEAN yang ingin meningkatkan kehadiran mereka di peringkat global, disokong oleh peningkatan dagangan Southbound Stock Connect dan pangkalan pelabur yang lebih pelbagai.

Kumpulan itu berkata rancangan penyenaraian di HKEX adalah perkembangan semula jadi susulan pelan penstrukturan semula PN17 yang sedang berjalan, yang disasarkan selesai pada pertengahan 2025.

"Apabila keluar daripada status PN17, kumpulan berhasrat untuk meneruskan inisiatif strategik ini bagi  mengukuhkan lagi struktur modal dan kehadiran globalnya," katanya.

Sementara itu, Tony turut menyatakan subsidiari Teleport, Asia Digital Engineering (ADE) dan AirAsia MOVE telah mendapat pengiktirafan, satu peluang penting sejajar dengan cita-cita Capital A untuk mempercepatkan pertumbuhan, menarik pelabur strategik dan memaksimumkan nilai pemegang saham jangka panjang.

Portfolio utama Capital A termasuk ADE, penyedia penyelenggaraan, pembaikan dan operasi yang melayani syarikat penerbangan di seluruh Asia; Teleport, rangkaian logistik yang paling pesat berkembang di rantau ini; dan AirAsia MOVE, platform perjalanan dan gaya hidup digital terkemuka.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan