KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Langkah mewajibkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menubuhkan Unit Integriti (UI) sebelum 31 Ogos ini adalah wajar bagi meningkatkan tahap integriti organisasi yang beroperasi untuk kepentingan awam.
Ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata penubuhan UI juga perlu disambut baik semua pihak memandangkan isu integriti kerap muncul khususnya daripada orang ramai melibatkan aduan perkhidmatan oleh PBT.
“Pengukuhan nilai integriti dalam organisasi, seperti PBT mampu membentuk organisasi yang lebih telus dan jujur dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Langkah yang diwajibkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan inisiatif yang bukan sahaja membaiki kualiti khidmat kerajaan, malah turut memberi nilai tambah kepada organisasi selain memperkukuh keyakinan rakyat terhadap agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Lee berkata penubuhan UI di PBT menyampaikan mesej jelas bahawa kerajaan komited memastikan tiada berlaku penyelewengan, penyalahgunaan dan ketirisan ketika menjalankan amanah diberikan kepada organisasi mereka.
Pada 1 Mei, SPRM memaklumkan semua PBT diwajibkan menubuhkan UI selewat-lewatnya pada 31 Ogos sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh integriti pentadbiran.
SPRM menjelaskan sebagai langkah memperkemas struktur pelaporan, semua pegawai penghubung di PBT kini dikehendaki melapor terus kepada UI di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri dan bukan lagi kepada yang dipertua.
-- BERNAMA