AM

HARI ANGGOTA BOMBA SEDUNIA 2025 DISAMBUT ESOK DI KUANTAN

03/05/2025 01:51 PM

KUANTAN, 3 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2025 akan berlangsung di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, Jalan Mahkota di sini esok. 

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat menyempurnakan sambutan itu dengan diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming turut dijadual hadir ke sambutan bertemakan "Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” itu.

Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penguasa Kanan Bomba II Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata orang ramai dijemput memeriahkan pelbagai acara sempena sambutan itu bermula 8 pagi. 

Antara yang menarik perhatian ialah pertunjukan helikopter pesawat Mi-17 dan payung terjun oleh smoke jumper selain perbarisan detasemen serta perarakan kontinjen dan jentera oleh ‘wira merah’. 

“Selain itu turut diadakan pelbagai pameran, antaranya pameran dron daripada Bahagian Udara JBPM dan pameran ular oleh Bahagian Latihan.

"Kita juga mempunyai rumah asap bertujuan mendidik dan mengajar orang awam cara menyelamatkan diri ketika kebakaran di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Nur Hafizah yang juga Timbalan Ketua Zon 1 Selangor (Shah Alam) berkata sambutan turut melibatkan pameran daripada agensi luar, termasuk pemeriksaan kesihatan mata secara percuma oleh Lion Club. 

Orang ramai boleh menyaksikan sambutan berkenaan menerusi siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1, yang disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Beberapa jalan di sini akan ditutup sempena sambutan itu, bermula dari 6 pagi hingga 1 tengah hari, iaitu keseluruhan Jalan Mahkota, Jalan Besar bermula Hotel Lovita ke Jalan Penjara, Jalan Bukit Ubi menghala Jalan Mahkota dan Jalan Penjara menuju Jalan Mahkota. 

Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia akan diteruskan dengan program Larian Bersama Bomba 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Selangor pada 17 Mei. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan