AM

JOHOR HARAP PERCEPAT PEMBINAAN LOJI WTE BUKIT PAYONG

03/05/2025 02:46 PM

KULAI, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan diharapkan dapat mempercepat pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga atau waste-to-energy (WTE) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, Batu Pahat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata hal ini berikutan projek berkenaan yang dijangka beroperasi hujung tahun ini mengalami kelewatan selama dua tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata kewujudan loji terbabit antaranya dapat menyelesaikan isu pencemaran bau yang dihadapi penduduk berdekatan tapak pelupusan sampah Batu Empat di Kota Tinggi sekali gus membantu mengurangkan kapasiti sampah di tapak berkenaan.

“Saya simpati dengan apa yang berlaku (pencemaran bau), kerajaan Persekutuan perlu percepat WTE di Bukit Payong supaya sebahagian sampah (di Batu Empat) dapat dihantar ke sana.

“Selepas itu, tapak pelupusan sampah Batu Empat juga perlu dikhaskan untuk kawasan Kota Tinggi sahaja bagi mengurangkan kuantiti sampah di sana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kerjaya Kulai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pencemaran bau dari tapak pelupusan sampah Batu Empat yang dihadapi penduduk Kampung Desa Makmur dekat Kota Tinggi.

Mohd Jafni berkata empat pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan daerah Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi menghantar sisa sampah ke tapak pelupusan terbabit. 

Justeru, beliau berharap supaya kerajaan Persekutuan memberikan bajet tambahan agar kaedah pengurusan sampah yang sistematik dapat diwujudkan di tapak itu yang didapati masih menggunakan kaedah lama.

Selasa lepas, lebih 50 penduduk Kampung Desa Makmur mengadakan himpunan aman bagi menggesa penutupan tapak pelupusan sampah Batu Empat.

Tapak pelupusan sampah berkeluasan kira-kira 4.2 hektar yang terletak 300 meter dari kampung itu didakwa menyebabkan pencemaran bau serta menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk akibat kehadiran lalat.

Pencemaran itu juga dikatakan menjejaskan lebih 10 kampung sekitar membabitkan kira-kira 5,000 penduduk.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan