AM

VDM PLATFORM KUKUH JALINAN AWAM–TENTERA DAN SOKONG AGENDA MADANI

03/05/2025 04:20 PM

GUA MUSANG, 3 Mei (Bernama) -- Lebih 1,000 pengunjung menghadiri Program Veteran Desa MADANI (VDM) hari ini sebagai usaha Kementerian Pertahanan memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya mereka dalam kategori asnaf dan B40.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata program yang berlangsung di kawasan luar bandar ini memberi tumpuan kepada lima aspek utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan.

“Program ini berperanan sebagai platform kolaborasi antara kementerian dengan kerajaan negeri untuk menyampaikan bantuan kebajikan kepada veteran secara khusus serta masyarakat setempat secara amnya.

“Ia juga memperluas inisiatif kerjasama antara awam dengan tentera, seiring usaha Kementerian Pertahanan memperluas konsep ‘Pertahanan Menyeluruh’ melalui penglibatan komuniti dan Pasukan Simpanan Sukarela ATM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program berkenaan di Masjid Jamek Tengku Muhammad Fa-iz Petra, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata kementerian sentiasa mencari peluang untuk memperkasakan agenda kebajikan veteran sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan nilai ihsan.

Sementara itu, veteran ATM Muhammad Derahman, 70, menyambut baik penganjuran program yang menurutnya banyak membantu golongan veteran mendapatkan perkhidmatan selepas bersara.

“Program seperti ini membuatkan kami, bekas anggota tentera, berasa terus dihargai walaupun sudah tidak lagi berkhidmat dalam pasukan,” katanya.

Bagi pengunjung, Azrul Fauzi, 46, kehadiran pelbagai agensi dalam program itu membuka peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih jelas peranan dan fungsi pelbagai jabatan kerajaan.

“Saya bukan sahaja berpeluang melihat aset pertahanan ATM dari dekat, malah turut mendapat penerangan tentang fungsi agensi lain seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.

“Saya harap program sebegini diteruskan supaya rakyat lebih faham dan menghargai peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan