AM

KERAJAAN TIMBANG GANTI PELANTAR LAUT TUN SHARIFAH RODZIAH DENGAN KONSEP BAHARU

03/05/2025 07:04 PM

SEMPORNA, 3 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbangkan agar Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah iaitu sebuah pangkalan operasi hadapan yang terletak di perairan di sini yang dikendalikan Tentera Laut Diraja Malaysia, digantikan dengan satu konsep pangkalan operasi baharu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pangkalan dicadangkan itu, merupakan pangkalan operasi hadapan bergerak yang memberi kesinambungan kekuatan kepada sebarang operasi keselamatan di Sabah, khususnya di pantai timur berbanding pangkalan sedia ada berbentuk statik.

“Kerajaan sedang memastikan kelebihan sebagai pangkalan operasi hadapan ini dapat diteruskan. Kita akan berbincang dan membuat keputusan segera untuk kita merangka apa-apa penggantian kepada pangkalan laut ini.

“Saya hanya ingin memberikan jaminan bahawa keselamatan dan kedaulatan Sabah akan terus kita beri perhatian dan kita sedar bahawa peranan yang dimainkan pangkalan operasi hadapan ini sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kewujudan pangkalan laut itu, memainkan peranan besar dalam mengawal keselamatan di pantai timur Sabah dan berikutan itu insiden penculikan termasuk pencerobohan pada ketika ini berada di tahap minimal.

“Kita perlu melakukan semua ini kerana kita memahami dan menerima hakikat bahawa cabaran dan ancaman yang ada di timur Sabah ini merupakan cabaran dan ancaman berterusan, ancaman bukan hanya tradisional tetapi juga daripada non-state actor, maknanya termasuk daripada kumpulan-kumpulan pengganas.

“Kita juga ada jenayah rentas sempadan, penculikan, pencurian hasil laut, termasuk perdagangan manusia, semua ini cabaran dan ancaman berterusan, maka itulah Kementerian Pertahanan dan kerajaan memberi perhatian besar kepada keselamatan Sabah,” katanya lagi.

Mohamed Khaled berkata pihaknya akan turut menambah radar iaitu coastal surveillance radar bagi pengawasan keselamatan lebih berkesan di Sabah.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan mengeluarkan pelaburan besar bernilai lebih RM500 juta bagi pembinaan kem tentera di Sabah iaitu Kem Felda Sahabat, Lahad Datu serta Kem Paradise, Kota Belud.

“Bagi pembinaan Kem Felda Sahabat, kita akan cuba memastikan kontraktor sedia ada dapat meningkatkan lagi kerja-kerja mereka di sana,” katanya lagi.

Selain itu, Mohamed Khaled meminta agar kontraktor projek pembinaan rumah kakitangan angkatan tentera bagi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) di Kem Kukusan, ditamatkan.

“Projek ini diputuskan pada tahun 2021, dengan peruntukan kira-kira RM77 juta, dan projek sepatutnya siap pada tahun ini, tetapi nampaknya tidak boleh siap, sudah masuk kepada kategori projek gagal dan saya minta supaya ditamatkan kontraktor dan diambil tindakan-tindakan bagi memastikan kita dapat kontraktor yang baru untuk meneruskan kerja-kerja yang ada,” katanya.

Mohamed Khalid berkata pada ketika ini, pegawai serta anggota ATB2 terpaksa menyewa di luar dan perkara itu tidak wajar berlaku.

“Antara perkara yang sangat penting dalam usaha untuk memastikan kesiapsiagaan ialah dari segi kesejahteraan hidup anggota, projek ini terlalu lama, jadi kita sangat beri perhatian yang serius supaya projek ini dapat diselesaikan dan Jabatan Kerja Raya atau kementerian menjadi pengendali,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan