Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 4 Mei (Bernama) -- Kerjasama strategik yang kukuh antara Lembaga Tabung Haji (TH) dengan syarikat berpangkalan di Arab Saudi, Mashariq Holdings (Mashariq) sekali lagi terbukti menjadi tonggak penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan operasi haji musim ini bagi jemaah Malaysia.
Ia kesinambungan kerjasama tiga dekad antara TH dengan Mashariq yang ditugaskan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan penting untuk jemaah Malaysia di sini, khususnya di Arafah, Muzdalifah dan Mina semasa kemuncak ibadah haji.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata sikap saling menghormati dan tanggungjawab bersama antara kedua-dua pihak merupakan kunci untuk memberikan penjagaan dan bantuan terbaik kepada jemaah.
"Terdapat garis masa yang ditetapkan Kementerian Haji Arab Saudi, dan kami bekerjasama rapat dengan Mashariq untuk memastikan segala-galanya dilaksanakan mengikut jadual, terutamanya dalam mendapatkan tapak penempatan di Arafah dan Mina.
"Alhamdulillah, untuk tahun ini, hasil daripada kejayaan menerima Anugerah Labaytum (kecemerlangan dalam perkhidmatan jemaah haji) tahun lepas, kita diberikan peluang untuk memilih tapak bagi jemaah Malaysia.
"Dengan kerjasama Mashariq, kita berjaya mendapatkan lokasi sama yang digunakan sejak beberapa tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis simbolik perkongsian antara TH dengan Mashariq di sini malam tadi.
Majlis yang dihadiri Pengerusi Mashariq Ali Hussein Al Bundugi, Timbalan Pengerusi Mashariq Mahmoud Damanhouri dan Ketua Pegawai Eksekutif Mashariq Waleed Mohammed Rashidi, bertujuan menetapkan kualiti untuk musim haji akan datang dan menegaskan nilai teras seperti perpaduan dan saling menghormati sebagai asas kepada kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.
Dalam pada itu, Mohd Hisham turut menyeru kepada semua petugas yang terlibat supaya sentiasa berwaspada, menjangkakan cabaran dan meneruskan perancangan rapi untuk memastikan keselesaan, keselamatan dan kebajikan jemaah haji sepanjang mengerjakan ibadah itu.
"Kepada rakan Mashariq kami, terima kasih atas kerjasama, sokongan berterusan dan nilai bersama. Profesionalisme dan layanan mesra anda amat diiktiraf, dan kami berharap dapat mengukuhkan lagi perkongsian penting ini.
"Saya juga berharap kedua-dua pihak akan terus memupuk dan mengutamakan hubungan baik, marilah kita jadikan operasi haji tahun ini bukan sahaja berjaya, tetapi sentiasa diingati," katanya.
-- BERNAMA