JENAYAH & MAHKAMAH

LEBIH 200 PANGKALAN HARAM DI SUNGAI GOLOK DITUTUP SEJAK DISEMBER LEPAS - SAIFUDDIN NASUTION

04/05/2025 06:21 PM

PASIR MAS, 4 Mei (Bernama) -- Lebih 200 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan telah ditutup sejak Disember lepas susulan tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri dalam menangani jenayah rentas sempadan, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tindakan itu sebahagian hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara yang dipengerusikannya sebelum ini, bertujuan memperketat pengawasan di sepanjang 103 kilometer laluan sempadan berkenaan.

“Tindakan penutupan pangkalan haram dan pelaksanaan pendekatan omnipresence oleh pasukan keselamatan berjaya mengurangkan kemasukan keluar masuk secara haram. 

"Walaupun belum ada jumlah signifikan (jumlah individu keluar masuk sempadan), trend keluar masuk secara haram terkawal sejak larangan merentas sempadan negara menggunakan laluan haram berkuat kuasa pada Disember tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Rantau Panjang di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata jumlah kekuatan kawalan keselamatan telah dipertingkat dengan 819 anggota dikerahkan secara bergilir untuk operasi pemantauan dan serbuan di kawasan panas sempadan itu.

"Bila kita tutup pangkalan haram, buat pemeriksaan dan operasi secara konsisten, kita dapati bekalan dadah sedikit menurun, namun kita tidak boleh terlalu selesa kerana penyeludup mungkin mencari laluan alternatif,” katanya.

Saifuddin Nasution turut memaklumkan wujud trend baharu pendaratan dadah di kawasan Kuala Kedah dan Kuala Sanglang yang kini dikesan sebagai lokasi baharu bagi sindiket pengedaran, dipercayai susulan kawalan ketat di sempadan Kelantan.

“Saya dimaklumkan minggu lepas bahawa terdapat sedikit peningkatan pendaratan dadah di Kedah. Saya sedang siasat sama ada ia ada kaitan langsung dengan pengetatan kawalan di Kelantan.

"Oleh itu, saya kena semak dengan Ketua Polis Kedah (Datuk Fisol Salleh) sama ada disebabkan penutupan pangkalan haram di Kelantan menyebabkan mereka mengubah lokasi dengan menggunakan laluan di Kedah,” katanya.

Beliau berkata pemantauan rapi akan diteruskan termasuk terhadap kemungkinan wujudnya pangkalan haram baharu yang dibina semula selepas tindakan penutupan dilakukan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan