MACHANG, 5 Mei (Bernama) -- Dua beradik Orang Asli yang ditemukan lemas di Sungai Gilat, Kampung Lubok Kawah, Kuala Krai, hari ini disifatkan anak yang rajin membantu keluarga mencari rezeki.
Bapa mangsa, Rantau Atan, 45, berkata kedua-duanya anaknya Irruwan, 18, dan Rahidi, 16, sejak dari kecil telah membantunya di ladang sawit di Rompin, Pahang, dan lebih setahun menyemai benih tembikai di Kuala Krai.
“Mereka anak yang baik dan sejak kecil rela bekerja demi menampung perbelanjaan harian keluarga.
“Sebelum ke Kuala Krai, tidak ada sebarang perubahan pelik pada mereka. Saya amat terkejut apabila dimaklumkan mereka lemas kerana kedua-duanya pandai berenang, tetapi mungkin tidak pernah berdepan arus deras dan pusaran sungai,” katanya kepada pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Machang hari ini.
Terdahulu, Rantau melakukan proses pengecaman mayat Irruwan sebelum ke Hospital Tanah Merah bersama-sama mentuanya, Hamzah Yahya, 62, dan beberapa rakan untuk pengecaman mayat Rahidi.
Rantau berkata dia reda dengan pemergian kedua-dua anaknya dan bersyukur jasad mereka ditemukan dalam tempoh singkat.
“Sebelum ini, saya telah kehilangan tiga anak perempuan akibat kemalangan jalan raya dan sakit. Kini, Rahidi dan Irruwan juga telah pergi. Tinggallah saya dan isteri, Noriah Hamzah setelah kesemua lima anak kami meninggal dunia,” katanya.
Rantau berkata jenazah kedua-dua anaknya akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Kampung Deraman, Rompin selepas selesai bedah siasat.
Mayat dua beradik itu ditemukan di dua lokasi berbeza iaitu di Pengkalan Pasir, Paloh Rawa, Machang pada 8.50 pagi, dan Pengkalan Pasir, Bukit Panau, Tanah Merah pada 10 pagi tadi.
Irruwan dan Rahidi dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika memancing bersama saudara dan rakan di Sungai Gilat petang semalam.
Difahamkan, mereka sekeluarga bersama lebih 30 Orang Asli dari Rompin datang ke kampung terbabit untuk bekerja di ladang tembikai dan dijadual berada di situ selama seminggu.
-- BERNAMA