KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Malaysia menolak keras sebarang penyalahgunaan sistem perdagangan antarabangsa, termasuk pengeluaran Sijil Asal palsu atau mengelirukan yang bertujuan untuk mengelakkan tarif, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata MITI mengambil maklum laporan oleh beberapa media berhubung dakwaan bahawa pengeksport dari China cuba mengelak tarif Amerika Syarikat (AS) dengan ‘mencuci asal’ produk melalui negara ketiga seperti Malaysia.
"Mulai esok, kita tidak akan benarkan lagi dewan-dewan perniagaan untuk mengeluarkan Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) ini kerana memang banyak aduan daripada pihak industri yang mengatakan banyak barangan daripada negara lain datang ke negara kita.
"NCPO yang selalu dikeluarkan oleh Dewan Perniagaan tidak lagi akan dibenarkan dan permohonan NCPO yang melibatkan AS, akan dipusatkan di bawah MITI," katanya.
Beliau Zafrul berkata demikian ketika sesi penggulungan pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai tarif AS oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia kini memberi fokus kepada pasaran Timur Tengah dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dijangka dimeterai akhir bulan ini.
Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mula meneroka akses pasaran baharu termasuk ke Mesir, Pakistan dan Kemboja.
"Kita kena tingkat diplomasi ekonomi kita. Kita tidak boleh tunggu, kita kena percepat apa yang telah dibuat dalam masa dua tahun ini. Dengan ada peruntukan yang lebih, mungkin dapat dibantu lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana tempatan untuk mendapat akses kepada pasaran baru," kata Tengku Zafrul.
Mengenai tarif timbal balik, beliau berkata kerajaan komited pada prinsip tadbir urus yang baik untuk berunding dengan AS mengenai tarif yang dikenakan.
Ketika ini, rundingan awal tersebut masih melibatkan perbincangan skop dan teknikal dan tertakluk kepada perjanjian tanpa pendedahan.
“Sekiranya cadangan dasar yang memerlukan keputusan bersifat struktur, ia akan melalui tiga proses iaitu proses semakan dalam yang ketat, kelulusan jemaah menteri dan jika perlu kita akan bentang di Dewan Rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata kerajaan tidak akan menunggu sehingga pembentangan Belanjawan 2026 untuk mengemas kini unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025.
Menurutnya, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia akan terus memantau serta menilai kesan tarif secara menyeluruh.
Beliau berkata unjuran KDNK 2025 hanya akan disemak semula apabila terdapat kepastian lebih jelas terhadap dasar pentadbiran baharu AS serta hasil rundingan dua hala berhubung tarif balas.
“Bagaimanapun, ketidakpastian unjuran ini tidak akan menjejaskan ketangkasan respons dasar kerajaan.
“Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara bersasar dan berdasarkan data, termasuk pemantauan rapi terhadap petunjuk makroekonomi serta perkembangan dasar perdagangan antarabangsa bagi memastikan kestabilan ekonomi dan perlindungan kepada golongan yang terkesan,” katanya.
-- BERNAMA