GEORGE TOWN, 5 Mei (Bernama) -- Tourism Malaysia menyarankan supaya setiap negeri memperkenalkan pakej pelancongan baharu, termasuk yang berasaskan minat khas menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata usaha tersebut penting bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk dilawati.
“Bagi memastikan kejayaan TMM2026, saya menyeru semua pihak untuk menyambut kempen ini sebagai satu misi nasional dengan memperkenalkan produk baharu di negeri masing-masing.
“Dalam hal ini, tumpuan perlu diberikan kepada persiapan menerima pelawat domestik dan antarabangsa dengan meningkatkan infrastruktur, kebersihan serta pembangunan produk dan pakej pelancongan baharu termasuk pakej minat khas di negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Libat Urus Tourism Malaysia Bersama Penggiat Industri Pelancongan Pulau Pinang di sini hari ini.
Yeoh berkata pakej pelancongan baharu itu bukan sahaja akan mempelbagaikan tawaran destinasi negara, malah menarik minat pelancong yang mempunyai kecenderungan khusus seperti ekopelancongan, pelancongan kesihatan, warisan budaya dan agropelancongan.
Selain itu, beliau berkata kesalinghubungan ke Malaysia dari bandar peringkat kedua dan ketiga juga perlu dipertingkatkan melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan dan syarikat penerbangan bagi menambah laluan serta meningkatkan kekerapan penerbangan daripada pasaran utama.
Sementara itu, Yeoh berkata sesi libat urus hari ini merupakan sesi ke-11 selepas beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Melaka, Pahang, Perak dan Kedah, yang bermatlamat memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan berkongsi idea dan cadangan dalam memperkukuhkan persiapan menuju TMM2026.
Beliau berkata kempen TMM2026 dilihat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini dalam membuka peluang kepada negara bukan sahaja untuk menonjolkan keindahan sektor pelancongan tetapi juga membuktikan kemampuan Malaysia dalam menerajui pembangunan pelancongan di peringkat serantau.
Beliau berkata penganjuran Forum Pelancongan ASEAN di Johor pada Januari lepas menjadi titik permulaan bagi memperkenalkan Malaysia di peringkat antarabangsa, selain bakal menjadi tuan rumah kepada dua acara antarabangsa utama iaitu Pesidangan Pelancongan Dunia dan Hari Pelancongan Dunia di Melaka pada September depan.
Yeoh berkata setakat Februari lepas, Malaysia telah mencatatkan kedatangan 6.7 juta pelawat asing, meningkat 31.3 peratus berbanding tahun lepas dengan sasaran 45 juta pelawat dan RM270 bilion hasil pelancongan tahun ini.
"RM400 juta diperuntukkan untuk kempen TMM2026 yang merangkumi pemasaran dan promosi serta penganjuran acara utama, selain RM130 dalam bentuk geran sokongan untuk merangsang industri pelancongan seperti Geran Galakan Melancong, Geran Sokongan Sektor Pelancongan dan Geran Sektor Penerbangan dan Charter," katanya.
-- BERNAMA