JENAYAH & MAHKAMAH

DAPATAN TIDAK KONKLUSIF, PAKAR FORENSIK GAGAL TENTUKAN KESAHIHAN TANDATANGAN NAJIB

05/05/2025 07:42 PM

PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu terdapat beberapa persamaan dan perbezaan pada tandatangan didakwa milik Datuk Seri Najib Tun Razak dalam dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menjadikan dapatan berhubung perkara itu tidak konklusif.

Pakar forensik dokumenTay Eue Kam, yang juga pakar tulisan tangan daripada PHA Handwriting Analysis Sdn Bhd, berkata beliau tidak dapat menentukan kesahihan tandatangan itu kerana hanya menerima salinan foto dokumen terbabit daripada Tetuan Shafee & Co bagi tujuan analisis.

"Apabila berurusan dengan salinan foto seperti itu, kita tidak boleh mengecualikan kemungkinan bahawa tandatangan itu telah disalin dan ditampal. Ia perlu dibandingkan dengan dokumen asal.

"Kesemua dokumen yang diterima adalah salinan foto dan telah dibuktikan bahawa pemeriksaan boleh dilakukan terhadap yang berkualiti tinggi manakala yang berkualiti rendah memberikan cabaran dalam usaha mengenal pasti bentuk tulisan tangan yang kritikal," kata saksi pembelaan ke-26 itu.

Saksi berusia 59 tahun itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada perbicaraan bekas Perdana Menteri tersebut berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Tay telah menganalisis 31 spesimen tandatangan Najib pada pelbagai dokumen termasuk cek, surat dan memorandum kerajaan bagi menentukan sama ada Najib benar-benar menurunkan tandatangannya serta menulis nota dalam tujuh dokumen yang dipertikai berkaitan perbicaraan kes 1MDB. 

"Bagaimanapun, saya mengakui bahawa salinan foto dokumen kadang-kadang boleh direka dan saya telah memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap kemungkinan ini dalam analisis saya," kata beliau.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan