Daripada Aisha Hani Nor Azmir
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei (Bernama) -- Selaku negara penyelaras bagi Kerjasama ASEAN Campur Tiga dalam Bidang Maklumat dan Media, Malaysia menggesa semua negara anggota mengemukakan inisiatif dan usaha sama strategik bagi memperkukuh kerjasama media serantau.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dalam pembentangannya pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (SOMRI) ke-22 dan Mesyuarat Berkaitan memaklumkan setakat ini tiada projek dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan ASEAN Campur Tiga mengenai Kerjasama Melalui Maklumat dan Media (2018-2025).
“Kita menggalakkan semua negara anggota ASEAN untuk memanfaatkan mekanisme sokongan ini dengan mengemukakan projek usaha sama dan berimpak tinggi.
“Marilah kita meneroka peluang projek yang boleh memperkukuh keupayaan media, mempromosikan transformasi digital serta mempererat kerjasama dengan rakan-rakan Campur Tiga,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kerjasama ASEAN-China telah melaksanakan lapan projek berpandukan kerangka strategik yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Kerjasama ASEAN-China melalui Maklumat dan Media 2018-2025.
Antara projek telah dilaksanakan ialah Forum Kerjasama Media Rakan ASEAN 2024, Minggu Media ASEAN-China Keenam dan Gala Festival Musim Bunga ASEAN-China 2024.
Ia termasuk Projek Alih Suara dan Penyiaran Program Audio-Visual yang diterajui Guangxi Radio and Television dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Televisyen Kemboja dan Televisyen Vietnam.
“Pelan Tindakan Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China melalui Maklumat dan Media telah dilanjutkan hingga tahun ini. Pelanjutan ini telah disahkan pada Mesyuarat SOMRI ke-20 dan Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Terhadap Maklumat (AMRI) ke-16 yang berlangsung pada September 2023 di Da Nang, Vietnam.
“Pelanjutan ini membantu menyelaraskan pelan tindakan dengan dokumen utama ASEAN lain, termasuk Pelan Tindakan Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC) 2025 dan Pelan Induk Komunikasi ASEAN II,” katanya.
Mohamad Fauzi berkata ASEAN dan China pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27 berlangsung Oktober 2024, telah mengeluarkan kenyataan bersama yang menyeru kepada pengukuhan hubungan antara rakyat serta kerjasama media termasuk perkongsian kandungan, penerbitan bersama dan usaha menangani penularan maklumat palsu.
Beliau berkata ASEAN dan China turut mengulangi komitmen mereka untuk membangunkan ekosistem digital yang mampan dengan memajukan infrastruktur, 5G, kecerdasan buatan (AI), keselamatan digital dan transformasi digital yang inklusif merentasi sektor seperti pembuatan dan pertanian.
Sementara itu, Mohamad Fauzi dalam ucapannya mengumumkan Mesyuarat Pasukan Petugas ASEAN bagi Menangani Berita Palsu (ASEAN TFFN) Keempat akan diadakan secara maya pada 23 Julai ini, manakala Mesyuarat Kumpulan Kerja Maklumat, Media dan Latihan untuk SOMRI Ke-10 dijadualkan berlangsung 5 hingga 8 Okt depan di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Sesi Plenari SOMRI dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Pejabat Perdana Menteri (JPM) Brunei Awang Ajman Meludin.
Awang Ajman berkata tema MAJU-Media Advancing Joint Understanding: Transforming Media’s Role in Advancing Cooperation and Mutual Understanding in ASEAN mencerminkan hasrat kumpulan itu untuk menegaskan matlamat SOMRI, di samping menyesuaikan diri dengan keadaan global dan geopolitik semasa.
“Setakat ini, kita telah mencapai kemajuan ketara seperti memperkukuh kedaulatan undang-undang, meningkatkan keupayaan wartawan, menyokong usaha kerajaan dalam transformasi digital serta memastikan pertukaran maklumat yang inklusif dan selamat.
"Sehubungan itu, menerusi SOMRI kali ini, saya memohon pandangan dan input daripada anda semua untuk perbincangan lebih bermakna yang diharap bukan sahaja memberi kesan mendalam tetapi juga menjadi satu lagi pencapaian untuk SOMRI dalam mencipta kejayaan pada masa depan," katanya.
Sesi berkenaan turut menyaksikan penyerahan kepengerusian SOMRI daripada Vietnam kepada Brunei.
Mohamad Fauzi mengetuai delegasi Malaysia bagi SOMRI yang diadakan di sini selama dua hari bermula hari ini.
Turut serta dalam delegasi itu Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JaPen) Muhammad Najmi Mustapha serta Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Norhani Mohamad Adzhar.
Delegasi juga dianggotai Pengarah II (ASEAN dan Dua Hala) MCMC Fatin Nabiha Ab Aziz, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak, Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan RTM Reza Shahriman Othman serta pegawai kanan lain daripada Kementerian Komunikasi dan agensi.
SOMRI kemudian disusuli dengan AMRI Ke-17 yang akan bermula pada 7 Mei. Delegasi Malaysia ke AMRI dipimpin Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Esok, SOMRI diteruskan dengan Mesyuarat SOMRI Campur Tiga Kelapan (China, Jepun dan Korea Selatan) serta Mesyuarat SOMRI Campur Jepun Kelima.
-- BERNAMA