KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) merampas 9,000 kilogram (kg) lateks pekat yang disimpan di dalam tangki lateks berserta beberapa sitaan lain keseluruhan bernilai RM80,000 dalam operasi bersepadu di sebuah premis di Kundang, Selangor pada 30 April lepas.
LGM dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu dijalankan unit inspektorat dan penguatkuasaan (UIP) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Premis yang diserbu dipercayai menjalankan aktiviti membeli dan menyimpan getah bagi pembuatan produk getah tanpa lesen sah daripada LGM.
“Aktiviti ini satu kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 3(1)(b) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda dengan nilai tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.
LGM mengalu-alukan orang awam untuk membuat sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan dalam industri getah melalui laman web https://lgm.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
-- BERNAMA