KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Pendigitalan meningkatkan pembangunan perniagaan tradisional dan meluaskan jangkauan global untuk usahawan tempatan, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pengarah Perkhidmatan Digital MDEC Mohd Redzuan Affan di berkata dengan kemudahan dan kemajuan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharunya, menubuhkan perniagaan dalam talian akan menjadi lebih mudah berbanding menjalankan perniagaan secara tradisional.
“Dengan kecanggihan dan kemudahan teknologi AI pada masa ini, kerepek kentang buatan tempatan boleh menembusi pasaran sejauh London.
“Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut, MDEC mempunyai lebih banyak program di bawah inisiatif pendigitalan perniagaan kami yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya pada perbincangan panel pada CTOS SME Biz Day 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata penggunaan AI dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di luar negara telah diterima pakai secara meluas seperti dalam kalangan usahawan tempatan di Taiwan.
“Malah, apabila kami mengunjungi sebuah gerai makan kecil, pemiliknya berbual tentang AI.
“Ini dilihat seperti kerajaan Taiwan telah memberitahu semua perniagaan untuk menggunakan AI, (menunjukkan) kepentingan AI sebagai ejen transformasi untuk PKS terus maju,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Rizal Nainy berkata PKS digalakkan untuk melihat lebih jauh daripada pasaran utama semasa mereka dan meninjau peluang baharu melalui perjanjian perdagangan antarabangsa.
“Kepelbagaian pasaran bukan sahaja bergantung pada pasaran terbaik anda berikutan kita kini mempunyai BRICS, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik serta Persatuan Perdagangan Bebas Eropah.
“Oleh itu, sila fahami atau ketahui mengenai perjanjian perdagangan bebas ini, kerjasama serantau dan ekonomi berikutan ia akan (memberi manfaat) terutamanya jika terdapat bahagian PKS,” katanya.
-- BERNAMA