KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) berharap para pemimpin ASEAN, yang akan bertemu bagi sidang kemuncak di sini akhir bulan ini, akan menyokong 12 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED).
Pengerusinya, Tan Sri Nazir Razak berkata sokongan itu akan mempercepat integrasi ekonomi serantau -- satu matlamat yang semakin mendesak dalam keadaan landskap global yang lebih mencabar, terutama berikutan pengenaan tarif yang tinggi oleh Amerika Syarikat.
“Sekiranya kita tidak boleh memesatkan integrasi ASEAN sekarang, bilakah kita boleh? Kini adalah masa yang penting bagi ASEAN untuk bersatu, memperkukuh integrasi, dan meningkatkan kerjasama ekonomi dan kewangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sidang media itu diadakan bertujuan mengumumkan penaja korporat bagi Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2025 dan Anugerah Perniagaan ASEAN 2025, yang akan diadakan semasa Sidang Kemuncak ASEAN kedua bagi tahun ini pada Oktober, serta dengan Rakan Dialog ASEAN.
Beliau berkata ASEAN-BAC akan membentangkan PED serta pelbagai laporan kepada pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang dipengerusikan Malaysia.
Sidang kemuncak itu, yang akan turut merangkumi pertemuan antara pemimpin ASEAN dan rakan sejawat daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, dijadual diadakan pada 26 dan 27 Mei ini.
Selepas pembentangan itu, kerajaan masing-masing dijangka membuat penilaian sewajarnya terhadap PED.
“Jika PED itu sejajar dengan kepentingan dan rangka kerja dasar negara masing-masing, PED itu boleh diterima pakai dan dilaksanakan di peringkat nasional,” katanya.
Nazir berkata beberapa inisiatif seperti Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) yang utama dan Prospektus IPO ASEAN memerlukan perubahan dasar di setiap negara.
"Jika pemimpin menyokong beberapa inisiatif itu, mereka akan meminta kementerian masing-masing untuk mula melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata mengenai ABE, timbal balik tidak seharusnya menjadi penghalang, walaupun jika Malaysia menjadi satu-satunya negara yang melaksanakannya pada peringkat awal.
“Menunggu pihak lain mengambil tindakan tidak akan menghasilkan apa-apa untuk kemajuan. Malaysia melangkah ke hadapan dengan melaksanakan inisiatif itu sendiri, dan jika negara lain menyaksikan kejayaannya, mereka akan ikut.
“Contohnya, jika kita memudahkan perkara ini untuk syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia -- membenarkan syarikat seperti Standard Chartered memindahkan warga kerjanya keluar dan masuk secara bebas -- maka Standard Chartered Malaysia menjadi hab yang lebih menarik dalam kumpulan itu,” katanya.
Beliau berkata justeru, Malaysia meraih manfaat, tanpa mengambil kira sama ada dasar yang sama wujud di Standard Chartered Indonesia atau Thailand atau tidak.
Beberapa PED seperti Rangka Kerja Filantropi Korporat ASEAN dan inisiatif Pasaran Modal Persendirian ASEAN, adalah laporan yang telah disediakan, katanya.
Nazir berkata ABE adalah usaha yang jauh lebih realistik ke arah integrasi serantau berbanding dengan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang bersifat terlalu bercita-cita tinggi, sering menetapkan sasaran tinggi dan idealistik yang gagal direalisasikan.
Beliau berkata sebaliknya, inisiatif yang dicadangkan oleh ASEAN-BAC Malaysia 2025 itu adalah lebih praktikal dan boleh dicapai, memberi tumpuan kepada kemajuan yang realistik dan langkah demi langkah.
Dalam pada itu , sebanyak 12 penaja telah tampil untuk menyokong Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2025 dan Anugerah Perniagaan ASEAN 2025, katanya.
Penaja itu ialah Yinson Holdings Bhd, UOB (Malaysia), UEM Group Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Mastercard Asia/Pacific Pte Ltd. (Malaysia), Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, Tiktok Pte Ltd, Genting Malaysia Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd dan Capital A Bhd.
-- BERNAMA