DUNIA

RINGGIT DITUTUP SUSUT BERBANDING DOLAR AS MENJELANG MESYUARAT MPC

06/05/2025 07:30 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Selasa dengan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia pada 8 Mei ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.2285/2360 berbanding dolar AS daripada paras 4.1990/2035 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat MPC itu akan menjadi tumpuan ramai peniaga.

“Sehubungan itu, BNM berkemungkinan menurunkan kadar dasar semalaman sebagai langkah awal untuk merangsang pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, Mohd Afzanizam berkata kalangan peniaga akan memberi tumpuan terhadap mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS selama dua hari yang bermula pada 6 Mei, 2025.

“Pengukuhan ketara ringgit berbanding dolar AS (sebelum ini) berkemungkinan telah menyebabkan segelintir peniaga dan pelabur mengambil untung masing-masing.

“Indeks Dolar AS (DXY) juga terus berada di bawah paras 100 mata iaitu dalam julat 99.583 mata ketika ini,” katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain, termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 2.9502/9556 daripada 2.9192/9225.

Ringgit juga turun berbanding euro kepada 4.7824/7909 daripada 4.7629/7680 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.6302/6402 daripada 5.5868/5928 sebelum ini.

Prestasi ringgit berbanding mata wang ASEAN juga rendah.

Berbanding dolar Singapura, ringgit rendah kepada 3.2749/2812 daripada 3.2644/2682 dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.9399/9700 daripada 12.7497/7747, semalam.

Ringgit rendah berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.62 daripada 7.53/7.54 dan turun sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 257.0/257.6 daripada 255.1/255.5.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan