KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa syarikat pelaburan negara itu berniat jahat apabila memfailkan saman terhadapnya pada Mei 2021.
Mohd Irwan berkata ini kerana beliau adalah pegawai kanan dan berpangkat tinggi dalam kalangan penjawat awam serta memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
"Sasaran utama 1MDB ialah Datuk Seri Najib. Bagaimanapun, mereka ingin menyalahkan orang lain selain Datuk Seri Najib dan saya adalah sasaran mudah disebabkan kedudukan saya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.
"1MDB juga ingin mensensasikan kes mereka dengan secara palsu mendakwa saya telah bersubahat dengan Datuk Seri Najib dan salah laku beliau serta saya telah bersekongkol atau berkomplot dengan Datuk Seri Najib kerana gagal memikul tugas dan tanggungjawab saya untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menyiasat pelaku terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian dalam pernyataan saksi ketika memberi keterangan selaku defendan kedua pada pendengaran saman USD6.59 bilion yang difailkan 1MDB terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan pecah amanah serta konspirasi.
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu berkata tindakan memfailkan saman tersebut membuktikan ia adalah pendakwaan terpilih dan dilakukan untuk memburukkan namanya.
Mohd Irwan berkata ini jelas kerana beliau telah meletak jawatan pada 2018 dan saman itu hanya difailkan terhadapnya tiga tahun kemudian pada 2021 iaitu apabila kerajaan bertukar selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau berkata dari Mei 2018 hingga Mei 2021, tidak ada tuntutan dikeluarkan terhadapnya dan tidak diminta menjawab sebarang dakwaan atau diberikan peluang untuk menjelaskan isu yang lambat dibangkitkan terhadapnya.
"Tingkah laku mereka yang berniat jahat terus terbukti apabila mereka memfailkan saman ini atas dakwaan melanggar tanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah namun memilih untuk tidak melibatkan yang lain iaitu Datuk Kamal Mohd Ali serta Datuk Seri Norazman Ayob meskipun mereka tahu bahawa semua keputusan dibuat secara kolektif," katanya.
Mohd Irwan berkata susulan saman itu, beliau kehilangan reputasi manakala kredibilitinya telah tercemar.
"Saya telah menjadi bahan ejekan dan terpaksa mempertahankan diri. Akibatnya, amat sukar untuk saya terus memegang jawatan pengarah tertentu kerana orang ramai berasa ragu-ragu dan mengambil sikap berhati-hati terhadap dakwaan yang dilemparkan ke atas saya. Selain itu, saya terpaksa mengeluarkan wang untuk membiayai kos perundangan bagi melantik peguam," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung pada 19 Mei ini.
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan serta Arul Kanda dan menuduh mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga mengakibatkan kerugian US$1.83 bilion berhubung pelaburan syarikat itu dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang kemudian ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan diperoleh semula daripada Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng US$3.5 bilion dana syarikat yang dibayar kepada Aabar Investments serta US$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.
1MDB mendakwa Mohd Irwan bersekongkol dengan Arul Kanda untuk melaksanakan pelanjutan perjanjian pekerjaan, membayar jumlah yang besar iaitu RM2,905,200 kepada Arul Kanda serta tidak mengendahkan kepentingan 1MDB sekali gus mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada syarikat itu.
Justeru, 1MDB menuntut ganti rugi sebanyak US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan bagi pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berhubung pelanjutan perjanjian pekerjaan.
-- BERNAMA