KOTA KINABALU, 6 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) terus memainkan peranan dalam memperluas latihan mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk pengamal media khususnya di Sabah menerusi penganjuran Kursus AI For Journalism: Transcription and Smart Tools.
Pengurus Pusat Kecemerlangan Bernama Ridzuan Mohd Ghazali berkata 25 wartawan pelbagai agensi media di Negeri Di Bawah Bayu menyertai kursus itu yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Beliau berkata latihan itu antara lain memfokus kepada maklumat dan pendedahan mengenai peralatan teknologi AI yang boleh digunakan bagi mempercepat serta memudahkan tugasan wartawan merangkumi proses transkripsi audio atau video selain semakan fakta.
"Tujuan kita menganjurkan latihan ini kerana mahu memperluas ilmu pengetahuan tentang AI. Kalau boleh setiap negeri kita anjurkan supaya tidak ada yang terlepas kerana memang hasrat kerajaan mahu semua pengamal media di Malaysia dilengkapkan dengan pengetahuan AI.
"Kita berharap pengamal media mendapat pendedahan dan potensi AI ini mampu membuatkan mereka bersaing dalam dunia teknologi yang berubah pantas setiap hari. Jadi mereka dapat menggunakan AI secara beretika dan berintegriti selain meningkatkan produktiviti para wartawan," katanya kepada Bernama.
Sabah adalah lokasi keempat penganjuran latihan itu selepas Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Sarawak dengan Pusat Kecemerlangan Bernama sebagai penyelaras kursus AI di bawah peruntukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Ridzuan berkata pihaknya turut merancang mengadakan latihan dan kursus sama untuk pengamal media di pantai timur dan selatan negara selepas ini bagi memastikan mereka turut dilengkapi maklumat serta ilmu pengetahuan berkaitan teknologi AI.
"AI digunakan dalam semua bidang, justeru itu kita berharap bidang kewartawanan juga tidak ketinggalan. Media di luar negara sudah pada tahap advance dalam penggunaan AI dan kita harap (pengamal media) di Malaysia juga memanfaatkan teknologi ini sebaiknya dengan penuh beretika.
"Banyak sebenarnya perkara yang wartawan boleh buat bagi membantu semakan fakta, mendapatkan fakta sahih dan meningkatkan kelajuan dalam menghasilkan laporan," katanya.
Sementara itu, tenaga pengajar Darwin Tan berkata latihan dan kursus sedemikian amat penting kerana ia mampu menjadi platform untuk memastikan pengamal media khususnya wartawan mempunyai pengetahuan terkini mengenai penggunaan teknologi AI.
"Ia merupakan satu permulaan kerana teknologi berkembang. Pengamal media harus belajar dan mengadaptasi teknologi yang ada terutama AI. Apabila menggunakan AI, gerak kerja wartawan akan lebih mudah dan membantu mereka menjadi lebih efisien," katanya.
-- BERNAMA