KUALA SELANGOR, 6 Mei (Bernama) -- Beberapa gerak kerja pembaharuan dan persediaan Parlimen Malaysia yang kini sebuah kuasa autonomi, sedang giat dijalankan selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan pada Mac lepas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata antara perkara utama yang sedang dilaksanakan ialah penempatan pekerja mencukupi serta penyediaan kemudahan dan fasiliti dalam memudahkan tadbir urus Parlimen.
Beliau berkata perbincangan turut dijalankan dalam usaha menginstitusikan 10 Jawatankuasa Khas di dalam Parlimen.
“Kesemua perkara ini antaranya sedang dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan (bermula dari tarikh Dewan Negara meluluskan akta itu pada 20 Mac 2025), namun saya jangkakan kita boleh selesaikan sekurang-kurangnya 14 bulan lebih awal… ketika ini kita sedang menuju ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Bual Bicara Kepimpinan Yang Dipertua Dewan Rakyat bersama Pemimpin Mahasiswa Budiman Universiti Selangor (UNISEL) di UNISEL Bestari Jaya di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UNISEL Prof Emeritus Datuk Dr Muhammad Redzuan Othman yang juga Ahli Dewan Negara.
Dewan Negara pada 20 Mac lepas meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 antaranya bertujuan memastikan keberkesanan institusi itu menjalankan fungsinya seperti termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.
RUU itu antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.
la juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang berfungsi melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berhubungan dengan Perkhidmatan Parlimen.
Johari berkata Parlimen Malaysia turut mengambil pendekatan kerjasama antarabangsa dengan mempelajari amalan terbaik daripada negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand untuk memodenkan sistem sedia ada.
Mengulas perkembangan format sistem Parlimen Belia, Johari berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membantu Parlimen dalam melaksanakan aspek pemilihan dan pengundian calon.
Beliau berkata tujuh parti akan ditubuhkan di kampus dan universiti dalam negara sebagai usaha Parlimen melahirkan pemimpin yang mempunyai kualiti untuk terus digilap.
Johari berkata prosedur operasi standard bagi golongan belia negara mendaftar dalam Parlimen Belia dijangka dikeluarkan pada September ini.
-- BERNAMA