KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan urus niaga hari ini dengan susut sedikit tetapi melantun kemudiannya, didorong oleh minat belian baharu bagi saham-saham wajaran tinggi terpilih.
Kemunculan minat itu dipacu oleh kehadiran pelabur yang kembali ke pasaran susulan penyusutan baru-baru ini, kata penganalisis.
Pada 9.25 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.85 mata kepada 1,541.65 daripada 1,536.80 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu susut 0.24 mata kepada 1,536.56 sewaktu pasaran dibuka.
Jumlah dagangan sebanyak 389.23 juta saham bernilai RM156.08 juta.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 268 berbanding 167 manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,624 tidak didagangkan dan sembilan digantung dagangannya.
Sementara itu Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun keadaan pasaran secara keseluruhannya mungkin lemah sementara menunggu hasil rundingan dagangan, peniaga masih boleh menumpukan sektor berdaya tahan seperti produk dan perkhidmatan pengguna.
Ini berikutan sektor itu mempunyai unit simpanan stok dan mendapat manfaat daripada penambahbaikan margin di tengah-tengah kos import lebih rendah.
"Kami melihat potensi dagangan ITMAX yang meraih kontrak yang berterusan di Johor dan momentum yang berpotensi di Pulau Pinang selain disokong oleh jumlah dagangannya yang sihat.
“Pada masa sama, kami juga melihat peluang ReachTen yang kami percaya telah dinilai rendah," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Seorang peniaga pula berkata pasaran akan turut mengikuti rapat keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 6-7 Mei serta Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia yang bermesyuarat pada 7-8 Mei minggu ini.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Maybank naik 3.0 sen kepada RM9.99, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare menambah 4.0 sen kepada RM14.10 dan RM7.04, CIMB meningkat 2.0 sen kepada RM6.92 manakala Public Bank merosot 2.0 sen kepada RM4.45.
Bagi saham aktif, Sapura Energy, Reach Ten dan Avangaad masing-masing meraih setengah sen kepada 4.5 sen, 56.5 sen dan 28 sen manakala Pos Malaysia meningkat 3.5 sen kepada 30.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 39.91 mata kepada 11,453.38, Indeks FBMT 100 naik 39.12 mata kepada 11,226.77 dan Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 54.44 mata kepada 11,365.65.
Indeks FBM 70 pula meraih 71.46 mata kepada 16,133.69 namun Indeks FBM ACE menguncup 0.74 mata kepada 4,638.03.
Di serata sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.31 mata kepada 18,149.50, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.87 mata kepada 151.35, Indeks Tenaga menokok 4.91 mata kepada 683.53 namun Indeks Perladangan susut 7.46 mata kepada 7,277.50.
-- BERNAMA