KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur akan beroperasi dengan dua perkhidmatan bagi memenuhi keperluan rakyat pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut bulan depan.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh perkhidmatan tren khas itu, sebanyak 436 tiket ditawarkan bagi setiap perjalanan menjadikan jumlah keseluruhan 872 tiket.
“Perkhidmatan ini menawarkan tambang sehala bermula RM80 sehingga RM95 dengan pilihan koc tempat duduk kelas premier, koc tempat duduk kelas superior, koc tempat tidur kelas superior, serta kemudahan koc chillax dan koc cafe.
“Tiket akan mula dijual pada 8 Mei 2025 bermula pukul 10 pagi,” menurut kenyataan itu.
Tren khas berkenaan akan memulakan perjalanan pada 11 malam, 5 Jun bermula dari KL Sentral menuju ke Tumpat, Kelantan dan 10.45 malam, 8 Jun dari Tumpat ke KL Sentral.
Tren akan berhenti di 16 stesen iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.
“KTMB terus mendukung inisiatif kerajaan memperluas pilihan pengangkutan awam dengan menyediakan tren khas bagi membantu mengurangkan kesesakan di laluan Pantai Timur yang lazimnya padat setiap musim perayaan, sekali gus memudahkan rakyat pulang beraya bersama keluarga dengan selesa dan selamat.
“Perkhidmatan khas ini juga dilihat turut memberi peluang kepada pelancong yang berhasrat untuk mengunjungi lokasi pelancongan di Pantai Timur. Selain itu, pengguna dinasihatkan untuk tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk,” menurut kenyataan itu.
Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB. Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini.
-- BERNAMA