JOHOR BAHRU, 7 Mei (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) hari ini menyumbangkan televisyen pintar (smart tv) kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi, Mersing dan Pasir Gudang.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan berkenaan dilakukan atas komitmen YSIJ dalam membantu sistem pendidikan di Johor.
Sumbangan televisyen itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi Miswam Yunus yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri sebelum diserahkan kepada wakil PPD.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi Azman Safii berkata sumbangan televisyen berkenaan memberikan manfaat yang optimum kepada warga pendidik dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
“Sumbangan ini melengkapkan sistem pembelajaran secara dalam talian yang telah dibangunkan, dengan maklumat pendidikan dapat diakses hanya di hujung jari,” katanya.
Turut berlangsung serahan sumbangan bakul makanan kepada 400 keluarga asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Kota Tinggi yang merupakan satu usaha bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan.
-- BERNAMA