JENAYAH & MAHKAMAH

OP OUTLANDER: SPRM TAHAN TIGA LAGI INDIVIDU TERMASUK DUA PEGAWAI KDN

08/05/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan seorang individu, bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan urusan mempercepat permohonan pengesahan taraf warganegara (PTW), semalam. 

SPRM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kesemua mereka berusia dalam lingkungan 50 hingga 65 tahun, ditahan menerusi operasi dijalankan antara 1 tengah hari hingga 5 petang, di Putrajaya.

“Operasi ini, lanjutan daripada Op Outlander dijalankan SPRM baru-baru ini dan KDN memberikan kerjasama penuh dalam melaksanakan siasatan kes terbabit,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan juga memaklumkan rakaman keterangan tiga individu itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Pada 11 Mac, SPRM menahan 16 individu berusia antara 20 hingga 70-an kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu menerusi Op Outlander dan Op Birth.

Penahanan itu hasil serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan