EKONOMI

METRO GLIDE MUNCUL KONTRAKTOR TEMPATAN BERPENGARUH MENANGI PELBAGAI ANUGERAH

08/05/2025 03:09 PM

Oleh Zaphne Philip

 KUCHING, 8 Mei (Bernama) -- Meskipun perjalanan lebih 20 tahun Metro Glide Sdn Bhd kini diwarnai dengan pelbagai anugerah, namun perjalanan untuk sampai ke tahap itu, bukanlah sesuatu yang mudah.

Dipelopori Chamles Jack pada tahun 2001, syarikat berkenaan yang merupakan milik penuh Bumiputera, kini muncul sebagai antara kontraktor gergasi dalam kejuruteraan yang berpengaruh di bumi Kenyalang.

Chamles, atau lebih mesra dipanggil Leng Jack, berkata Metro Glide bermula sebagai perniagaan perkongsian komersial dengan hanya 10 orang pekerja dan penah menghadapi pelbagai cabaran kewangan, terutamanya dalam mendapatkan modal untuk menjalankan projek besar.

“Saya bermula dari bawah, selepas bekerja dengan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) selama enam tahun selain belajar selok-belok hal perniagaan, akhirnya saya ambil keputusan berani untuk memulakan syarikat sendiri.

“Pada ketika itu saya menyahut seruan kerajaan agar lebih ramai bumiputera menjadi usahawan. Dahulu, jika kami mendapat projek bernilai RM10 juta, kami perlu mengeluarkan modal sehingga RM6 juta untuk membeli bahan dan peralatan. Namun, dana yang ada tidak mencukupi," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Metro Glide Sdn Bhd adalah antara syarikat bumiputera yang mendapat pembiayaan di bawah jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP).

SJPP ditubuhkan untuk mengurus skim-skim jaminan kerajaan, termasuk Skim Jaminan Modal Kerja, yang bertujuan membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan akses pembiayaan daripada institusi kewangan.

Sebelum berdiri kukuh seperti hari ini, Leng Jack berkata syarikat itu berdepan dengan cabaran dalam mendapatkan pembiayaan daripada bank. 

“Rekod kewangan ketika itu belum cukup kuat untuk yakinkan pihak bank. Kami terpaksa berulang-alik ke bank, namun asyik ditolak pemohonan pembiayaan.

“Segalanya berubah apabila Bank Islam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sarawak Energy, memperkenalkan skim pembiayaan khas untuk kontraktor tempatan. Peluang ini segera diambil oleh Metro Glide dan ia menjadi titik tolak kepada perkembangan syarikat,” katanya.

Untuk meningkat kredibiliti syarikat itu, beliau berkata Metro Glide berusaha menyiapkan segala  projek yang diraih tanpa sebarang kelewatan sekali gus menambah keyakinan pihak bank terhadap  kemampuan mereka.

“Pihak bank mula menawarkan lebih banyak kemudahan pembiayaan, sekali gus membuka banyak peluang kepada syarikat untuk mengembangkan operasi dan ambil lebih banyak projek.

"Tanpa sokongan daripada SJPP dan Bank Islam, perjalanan kami mungkin lebih sukar. Bank Islam juga banyak membantu kami mengatasi cabaran kewangan," katanya.

Bagi mengukuhkan operasi, beliau berkata Metro Glide juga membuat pelaburan awal daripada aspek digitalisasi sistem kerja bagi memastikan keselamatan data dan dokumen projek terjamin secara dalam talian.

"Di samping itu, kami juga menambah pelbagai jentera berat seperti excavator (mesin pengorek), kren lori dan peralatan utama lain yang diperlukan dalam operasi harian. 

"Pelaburan ini menjadi bukti kukuh kepada pihak Bank Islam pada awalnya tentang kemampuan kami, pemikiran strategik ke hadapan serta kesediaan kami untuk berkembang menjadi syarikat yang lebih besar, cekap dan berdaya saing," katanya.

Memandangkan semua jentera syarikat memerlukan penyelenggaraan berkala yang tinggi, Leng Jack berkata bank juga turut menambah kemudahan pembiayaan sekali gus memberi ruang kepada syarikat dari segi aspek aliran tunai.

"Pembiayaan memberikan kami ruang bernafas. Dengan sokongan mereka (pihak bank dan SJPP), kami kini mampu membida untuk projek bernilai RM30 juta hingga RM50 juta, sesuatu yang dahulunya tidak pernah saya jangkakan,” jelasnya.

Antara pencapaian awal Metro Glide adalah terlibat sebagai subkontraktor tetap dalam projek pembekalan elektrik luar bandar di Sarawak.

Bagaimanapun, Leng Jack berkata tempoh paling mencabar serta tidak akan dilupakan adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan semasa dunia dilanda pandemik COVID-19 pada 2020.

“Ketika itu, lebih 50 peratus pekerja kami tergolong dalam perkhidmatan penting terutama yang menyelenggara fasiliti milik Sarawak Energy. Mereka masih dibenarkan keluar bekerja, tetapi ramai juga yang berada di tapak projek tanpa sebarang kerja kerana arahan PKP. Tiada kemajuan di tapak bermaksud tiada tuntutan bayaran boleh dibuat,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata syarikat tidak pernah terfikir untuk mengurangkan tenaga kerja atau memotong gaji pekerja untuk menampung kos operasi.

“Kami jaga kebajikan semua. Alhamdulillah, tiada seorang pun diberhentikan. Semua gaji dibayar penuh agar mereka boleh terus menyara keluarga,” katanya.

Kini, katanya, Metro Glide memegang status G7 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), yang membolehkan syarikat mengendalikan projek pembinaan tanpa had maksimum.

“Momen paling membanggakan apabila Metro Glide mendapat penghargaan "Best Bumiputera Contractor Award" daripada Sarawak Energy pada tahun 2024, pengiktirafan atas komitmen dan prestasi konsisten Metro Glide dalam menyampaikan projek berkualiti tinggi.

“Syarikat kini memiliki lebih 150 pekerja, pernah terlibat dalam projek utama seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan yang terkini terlibat dengan projek lampu jalan raya LED  dari kawasan Rambungan sehingga Telok Melano, turut mendapat pembiayaan dari Bank Islam,” katanya.

Bagi Leng Jack, kejayaan syarikat bukan hanya diukur melalui nilai projek atau keuntungan, tetapi lebih kepada membina legasi dan melatih generasi pelapis dan kini anak perempuannya, Darleen Athila Leng, telah mula dilatih untuk menguruskan syarikat yang dibinanya selama lebih dua dekad itu.

“Apa yang saya selalu tekankan kepadanya (anak perempuannya) adalah kena berani, ada ilmu dan jujur. Jangan takut rugi, jangan terlalu cepat nak senang. Kalau nak berjaya, kita mesti belajar urus risiko dan jangan lupa simpan untuk waktu sukar,” katanya.

“Selagi kita masih berusaha, Allah akan sentiasa memberi rezeki. Falsafah itu menjadi tunjang dalam setiap langkah yang diambil untuk meneruskan perniagaan Metro Glide, lebih-lebih lagi ketika menghadapi badai ekonomi,” kata Leng Jack.

Metro Glide merupakan sebuah syarikat Bumiputera yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur elektrik dan kerja-kerja berkaitan, termasuk pemasangan, penyelenggaraan dan kemudahan pencawang.

Menerusi Belanjawan 2025 di bawah Tumpuan 2 iaitu Membugar Ekonomi ke Medan Jaya, antara yang disenaraikan ialah Inisiatif 34 yang merujuk kepada transformasi ekonomi bumiputera.

Ikhtiar tersebut yang merupakan agenda utama dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera, antara lain, turut melihat sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan bagi kontraktor G1-G4 untuk melaksanakan projek kecil dan sederhana serta RM200 juta disediakan bawah Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1-G4 untuk menyiapkan projek berskala kecil kerajaan bernilai sehingga RM1.5 juta.

Di bawah Kerangka Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling, kerajaan menyokong pengembangan syarikat tempatan di semua tahap termasuk pembangunan vendor Bumiputera dan peningkatan akses kepada pembiayaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan