Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dilihat sebagai pendekatan berhati-hati, kata seorang ahli ekonomi.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu dibuat apabila kerajaan berdepan dengan banyak perkembangan global berterusan selain ketidaktentuan.
Katanya, perbincangan dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) juga sedang berjalan dan BNM mengambil pendirian untuk tidak bertindak balas secara berlebihan.
"Mungkin, pelonggaran dasar monetari boleh berlaku pada separuh kedua tahun ini kerana jika dilihat kepada kitaran dasar monetari di seluruh dunia, ia sebenarnya sedang menurun.
"Rizab Persekutuan AS (Fed) tahun lepas mengurangkan 100 mata asas dan Indonesia, Thailand, Filipina serta Korea Selatan juga menurunkan kadar faedah mereka.
"Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengekalkan OPR pada 3.0 peratus. Jadi, memandangkan risiko penurunan yang semakin meningkat pada separuh kedua tahun ini, mereka mungkin cenderung untuk menurunkan kadar faedah dalam separuh kedua tahun ini," katanya kepada Bernama selepas pengumuman OPR hari ini.
Mohd Afzanizam berkata objektif penurunan kadar faedah iaitu untuk menyediakan kestabilan, pertumbuhan dan meredakan impak negatif terhadap ekonomi.
Oleh itu, campur tangan BNM penting atau ekonomi boleh merosot dengan lebih teruk.
Pada mesyuarat terakhirnya iaitu 6 Mac 2025, BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus, tidak berubah selama 12 mesyuarat berturut-turut sejak Mei 2023.
-- BERNAMA