EKONOMI

BNM KEKALKAN OPR PADA 3.0 PERATUS, PERTUMBUHAN GLOBAL BERTERUSAN

08/05/2025 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.

BNM berkata penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan dan perdagangan global yang berterusan, disokong oleh permintaan dalam negeri dan aktiviti yang dilakukan lebih awal. 

Selain itu, prospek pertumbuhan global juga akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dasar monetari kurang ketat dan rangsangan fiskal.

Bagaimanapun, bank pusat berkata langkah-langkah tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan tindakan balas telah melemahkan prospek pertumbuhan dan perdagangan global.

“Prospek ini terus bergantung kepada ketidakpastian yang ketara, termasuk hasil rundingan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Ketidakpastian ini juga boleh menyebabkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih ketara,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi Malaysia, kegiatan ekonomi terus berkembang pada suku pertama, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang berterusan.

Pada masa hadapan, ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dan ketidakpastian dasar global yang ketara akan menjejaskan sektor luaran.

Bagaimanapun, permintaan yang berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi akan menampung eksport. 

“Secara keseluruhan, pertumbuhan dijangka berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Pertumbuhan guna tenaga dan upah, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, berserta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan menyokong perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Pengembangan aktiviti pelaburan akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional.

Secara keseluruhan, imbangan risiko kepada prospek pertumbuhan cenderung menjadi perlahan, berpunca terutamanya daripada ekonomi rakan dagangan utama yang semakin lembap susulan sekatan dan tindakan balas perdagangan, sentimen lebih lemah berikutan ketidakpastian lebih tinggi yang boleh menjejaskan perbelanjaan dan pelaburan serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

Sementara itu, hasil rundingan perdagangan yang menggalakkan dan dasar yang menyokong pertumbuhan di negara maju serta aktiviti pelancongan yang lebih giat boleh meningkatkan prospek pertumbuhan Malaysia.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada purata 1.5 peratus dan 1.9 peratus pada suku pertama 2025.

“Secara keseluruhan, inflasi pada 2025 dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang sederhana dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan. 

“Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, lantas menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana,” kata BNM.

Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan terhadap inflasi dijangka terkawal.

Risiko kepada inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri serta perkembangan luaran berhubung dengan harga komoditi global, pasaran kewangan dan dasar perdagangan.

“Prestasi ringgit akan terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.

“Prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit,” kata bank pusat.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.

“Menyedari adanya risiko pertumbuhan menjadi perlahan dalam persekitaran ekonomi, MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan