Daripada Aisha Hani Nor Azmir
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei (Bernama) -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah hari ini menzahirkan hasrat baginda untuk berangkat mengadakan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat, khususnya bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN serta forum-forum berkaitan.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Sultan Brunei menzahirkan hasrat itu semasa baginda berkenan menerima menghadap beliau dan para menteri komunikasi ASEAN di Istana Nurul Iman, yang diadakan sempena Persidangan Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat (AMRI) ke-17 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di sini.
“Sultan Brunei menzahirkan hasrat baginda mengadakan lawatan ke Malaysia, khususnya dengan penganjuran ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Forum Ekonomi China yang akan berlangsung dalam tempoh kurang dua minggu lagi, memandangkan ia adalah acara penting dan bersejarah bagi rantau ini,” katanya kepada Bernama.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) San Lwin, pegawai komunikasi kanan, dan wakil daripada rakan dialog ASEAN Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.
Teo turut merakamkan penghargaan yang tulus kepada Sultan Hassanal Bolkiah kerana berkenan menerima menghadap delegasi menteri dan pegawai kanan ASEAN, dan berterima kasih kepada Brunei atas komitmen yang teguh ke arah memperkukuhkan kerjasama serantau dalam bidang maklumat dan komunikasi.
Teo mengetuai delegasi Malaysia pada Persidangan AMRI ke-17 yang berakhir semalam.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini, menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau, memupuk kerjasama ekonomi serta memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 1 Januari 2025 daripada Laos, dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu dan makmur.
Ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA