KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Wanita yang maut selepas tercampak dari van yang dinaikinya di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya, Selasa lepas, dipercayai bertengkar dengan suaminya sebelum kejadian itu berlaku.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati, berlaku pertengkaran antara mangsa, 44, dengan suaminya berumur 50 tahun tentang penggunaan van kerana wanita itu dilaporkan tidak mempunyai lesen memandu selain terlibat dengan kemalangan sebelum ini.
“Semasa bertengkar, mangsa dipercayai bertindak membuka pintu van dan terjun keluar dari kenderaan yang dipandu suami. Bagaimanapun, suami mangsa tidak mempedulikan tindakan itu dan terus memandu van berkenaan pulang ke rumahnya di Taman Kinrara Puchong," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Polis yang mendapat panggilan kecemasan berhubung perkara itu daripada orang awam pada 2.58 petang kemudian mengesan suami mangsa bagi memaklumkan tentang kematian isterinya itu.
Suspek ditahan pada 6 petang hari yang sama dan direman dari Khamis hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian secara tidak sengaja.
Ujian air kencing terhadap suspek juga katanya, mendapati lelaki itu positif dadah jenis methampetamine, benzo dan amphetamine.
Pada 6 Mei lepas, seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah van di tepi Lebuhraya KESAS.
-- BERNAMA