AM

LEBIH 100,000 PENGUNJUNG DISASAR HADIR KE PMR SABAH 2025

08/05/2025 09:15 PM

TAWAU, 8 Mei (Bernama) -- Lebih 100,000 pengunjung disasarkan menghadiri Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang akan berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bermula esok hingga Ahad ini.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Azizul Alias berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan rekod sambutan luar biasa pengunjung pada Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Kota Kinabalu, Oktober lepas.

“Menerusi pelbagai program bermanfaat dan menarik yang kita tawarkan pada edisi kali ini, kami jangkakan warga Tawau serta penduduk berhampiran akan hadir membanjiri PMR ini.

“Perkhidmatan langsung kepada pengunjung di reruai agensi kementerian, persekutuan, pelbagai program interaktif dan perniagaan termasuk Jualan MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah juga disediakan di program ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azizul berkata secara keseluruhan, sebanyak 36 reruai kementerian serta agensi persekutuan dan negeri serta 204 perkhidmatan touchpoint rakyat disediakan di PMR Sabah 2025.

“Kita juga sediakan jualan ‘beg kuning’ daripada peniaga TikTok Shop yang berpangkalan di Tawau dan kawasan sekitar untuk menjalankan perniagaan mereka pada PMR Sabah 2025.

“Kita bawakan beberapa pempengaruh termasuk penyanyi popular berasal dari Sabah, Bella Astillah selain Konsert Mega Tawau pada Sabtu yang menampilkan nama besar antaranya Datuk Awie, Stacy, Akim dan Felix Agus,” katanya.

Azizul berkata PMR kali ini juga mengetengahkan produk daripada usahawan Negeri Di Bawah Bayu menerusi segmen Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Borneo melibatkan 178 usahawan tempatan.

“Jualan merangkumi pelbagai kategori termasuk produk makanan dan minuman, kraf tangan, inap desa dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Bertemakan “Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan”, PMR Sabah 2025 merupakan usaha kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KUSKOP selaku Kementerian Peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai tuan rumah untuk membawa perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan