SERDANG, 8 Mei (Bernama) -- Malaysia Autoshow 2025 (MAS2025) yang bermula hari ini mempertontonkan model dan teknologi terkini daripada peneraju industri automotif global dan tempatan.
Acara itu berlangsung dari 8 hingga 15 Mei 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Antara pengeluar automotif terkemuka yang mempamerkan teknologi terkini mereka ialah subjenama iCAUR milik Chery, yang memfokuskan kepada kenderaan elektrik (EV).
Dibangunkan melalui kerjasama antara Chery dan SmartMi Tech, iCAUR telah mengadakan pratonton tiga kenderaan utiliti sukan (SUV) EV iaitu 03, 03T dan V23 menjelang pelancaran rasmi mereka.
“Kami telah mencipta kesan yang tidak dapat dinafikan di Malaysia dan berharap untuk mencipta peluang-peluang baharu, memanfaatkan kepimpinan kami dalam teknologi tenaga baharu dan penyelesaian mobiliti,” kata Naib Presiden iCAUR Malaysia Emily Lek dalam satu kenyataan hari ini.
iCAUR 03 dijangka mula dijual pada suku ketiga 2025. Ia menggabungkan reka bentuk berani, berpandukan bahasa reka bentuk “i-BOX”, yang menonjolkan estetika yang berani, tersedia dalam konfigurasi pacuan dua roda dan pacuan roda pintar.
Selain itu, BMW Group Malaysia juga memperkenalkan 330Li M Sport yang memiliki jarak roda yang panjang di MAS2025.
Model 330Li M Sport itu ditawarkan dalam tiga warna iaitu carbon black, m brooklyn grey dan arctic race blue.
PHS Automotive Malaysia, pengedar rasmi Audi di Malaysia turut melancarkan SUV Audi pemasangan tempatan yang pertama iaitu model Q7.
Dijual pada harga bermula RM459,990 seunit, SUV tujuh tempat duduk itu mengukuhkan kehadirannya dalam segmen premium mewah di Malaysia dan di rantau ini.
Sementara itu, Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM Bhd telah melancarkan empat model baharu yang merentas tiga segmen pasaran berbeza.
Ini termasuk dua skuter elektrik daripada siri Modenas MEV yang serba baharu, Kawasaki Ninja H2SX SE berprestasi tinggi dan skuter Modenas Kymco DTX 250.
MAS2025, yang kini memasuki tahun ketiga penganjuran, menghimpunkan 200 pempamer dan mempamerkan lebih 500 kenderaan. Acara itu juga menjadi platform untuk lebih 70 pelancaran model baharu, termasuk kereta, motosikal, EV dan penyelesaian mobiliti generasi akan datang.
Dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), MAS2025 dijangka menarik lebih 250,000 pengunjung terdiri daripada pengeluar peralatan tulen, pembekal komponen sehinggalah kepada peneraju industri dan orang awam.
MAS2025 telah diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai “Largest Outdoor Obstacle Test Drive Zone at an Autoshow”, yang menampilkan laluan pemanduan yang direka khas sepanjang 5.1 kilometer.
Acara itu juga menawarkan pengunjung peluang untuk memandu uji lebih 100 kenderaan — dari model enjin pembakaran dalaman sehinggalah kepada EV, motosikal dan laluan lasak pacuan empat roda — dalam keadaan simulasi dunia nyata.
-- BERNAMA