AM

KPDN KEDAH TINGKAT PENGUATKUASAAN SEMPENA LIMA’25

08/05/2025 10:39 PM

ALOR SETAR, 8 Mei (Bernama) --Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan di negeri ini, khususnya di Langkawi, sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata seramai 190 anggota penguat kuasa akan menjalankan pemeriksaan ke atas premis di seluruh negeri.

“Fokus penguatkuasaan merangkumi pematuhan penandaan harga barang dan perkhidmatan, aktiviti pencatutan, keberadaan bekalan barang kawalan, penggunaan alat timbang dan sukat, serta isu berkaitan pensijilan halal.

“Antara lokasi tumpuan termasuk restoran dan kedai makan, pasar raya, kedai runcit, pasar awam, pasar basah, pasar pagi dan pasar malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penguatkuasaan turut menyasarkan perkhidmatan sewa kenderaan, hotel dan rumah penginapan, stesen minyak serta lokasi tumpuan orang ramai dan pelancong.

Muhammad Nizam berkata penguatkuasaan dilaksanakan menerusi keberadaan (omnipresence) anggota penguat kuasa di lokasi strategik yang menjadi tumpuan pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Katanya KPDN turut melaksanakan Ops Menu 2025 bagi memantau pematuhan penandaan harga di premis makanan dan restoran.

“Ops Kesan 2025 pula membabitkan pemeriksaan terhadap pematuhan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, khususnya Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Ops Indah 2025 turut digerakkan bagi memantau penandaan harga di kawasan pelancongan dan memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya KPDN memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya dan akan menggempur premis yang didapati menjalankan perniagaan secara tidak beretika.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan