AM

PM ANWAR HARAP HUBUNGAN GLOBAL MALAYSIA TERUS BERKEMBANG

08/05/2025 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan yang terjalin antara Malaysia dengan jiran-jiran di rantau ASEAN, Asia serta seluruh benua terus harmoni dan mendapat manfaat khususnya dari sudut diplomatik, ekonomi dan pelaburan.

Anwar menyuarakan harapan itu menerusi catatan di Facebook selepas perbualan telefon bersama tiga rakan sejawatannya iaitu Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.

Perdana Menteri berkata perbualan bersama ketiga-tiga pemimpin berkenaan terarah kepada isu semasa, global, ASEAN, kesan tarif Amerika Syarikat serta usaha berterusan dalam memperkukuh kerjasama dua hala dan serantau.

“Sewaktu perbualan dengan Albanese, saya telah menjemputnya untuk melawat Malaysia dan mengukuhkan persahabatan yang terjalin khususnya selepas kejayaan mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Australia bagi penggal kedua berturut-turut.

“Saya kemudian dapat berbicara dengan rakan sejawat dari Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao mengenai perkembangan krisis kemanusiaan di Myanmar, status republik itu sebagai anggota tetap ASEAN selain kesediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini,” katanya.

Anwar berkata sewaktu perbualan telefon dengan Paetongtarn, beberapa isu melibatkan kedua-dua negara disentuh dan dikemas kini seperti rundingan Dialog Damai Selatan Thailand yang memerlukan inisiatif keamanan dan bukannya membabitkan sebarang elemen keganasan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan