AM

31 DARIPADA 34 PROJEK SAKIT PR1MA BERJAYA DISIAPKAN SETAKAT APRIL - NGA

09/05/2025 06:26 PM

SEREMBAN, 9 Mei (Bernama) -- Sebanyak 31 daripada 34 projek sakit Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di seluruh negara berjaya disiapkan merangkumi 20,470 unit kediaman setakat April lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata baki tiga lagi projek iaitu masing-masing dua di Melaka dan satu di Kedah akan disiapkan menjelang akhir tahun ini dengan sokongan penuh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi berkaitan.

“Projek sakit berkenaan diwarisi kerajaan terdahulu dan pengurusan lama PR1MA, apabila saya mula diberi amanat dan tanggungjawab, kita dapati selepas buat semakan, ada 34 projek sakit seluruh negara dan kita telah siapkan 31 daripadanya.

“Di Negeri Sembilan, tiga projek sakit iaitu di Seremban Sentral, Port Dickson dan Rantau membabitkan 2,929 unit rumah berjaya kita selamatkan dalam tempoh dua tahun. Terima kasih kepada kontraktor dan pembeli yang sabar,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Residensi Bandar Ekar, Rantau kepada pembeli di sini hari ini.

Nga berkata mana-mana kontraktor atau syarikat termasuk ahli lembaga pengarah syarikat yang mengakibatkan projek sakit tanpa alasan munasabah akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang projek di bawah KPKT dan PR1MA.

Beliau berkata apabila proses tender terbuka atau secara permintaan untuk cadangan (RFP) dijalankan, mereka yang disenaraihitamkan itu akan hilang kelayakan sekali gus memastikan tiada lagi projek terbengkalai pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Nga berkata projek Residensi Bandar Ekar dengan nilai pembangunan kasar RM172 juta itu membabitkan 766 unit kediaman teres satu setengah dan dua tingkat yang dimulakan pada 1 Feb 2017 dan dijadual siap 31 Mei 2020.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 752 unit telah terjual pada harga seunit adalah kompetitif dan mampu milik bermula RM165,000 dan RM224,000 selain dilengkapi pelbagai fasiliti termasuk tadika, surau dan taman permainan.

“Disebabkan pelbagai kekangan termasuk COVID-19, bekalan bahan binaan dan tenaga kerja, pembeli tidak dapat mendudukinya, akhirnya lepas lima tahun, projek ini berjaya disiapkan,” katanya dan menambah PR1MA dalam perancangan untuk melancarkan fasa dua residensi itu tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Nga tidak menafikan ada sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT) lalai dalam menguruskan projek MyKiosk dan berharap mereka bertanggungjawab memastikan projek berkenaan diisi dalam tempoh 30 hari dari sekarang.

Mengenai projek pembinaan loji sisa tenaga (WTE) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, Melaka, beliau berkata pihaknya sedang berbincang dengan syarikat konsensi dan akan memulakan kerja pembinaannya secepat mungkin apabila persetujuan dicapai.

“Terpulang kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bincang dengan syarikat konsensi (jangka masa sebenar), saya tak mahu paksa saya nak secara sukarela kerana kita nak ada formula menang-menang,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan