JENAYAH & MAHKAMAH

PENIAGA RUGI RM150,000 TERPERDAYA PELABURAN TERNAKAN KAMBING

09/05/2025 05:59 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Mei (Bernama) -- Seorang peniaga kerugian RM150,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan ternakan kambing tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 36 tahun itu mendakwa mengenali suspek (lelaki) menerusi rakannya pada November tahun lepas. 

“Rakan mangsa membawanya berjumpa suspek untuk berunding lebih lanjut dan selepas penerangan, lelaki itu bersetuju melabur RM30,000 secara tunai dengan janji pulangan keuntungan RM6,000 sebulan selama setahun.  

“Lelaki itu menerima pulangan RM3,000 pada bulan pertama sebelum diminta menambah pelaburan sebanyak RM70,000 dengan janji keuntungan lebih besar iaitu RM20,000 sebulan selama setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata selepas mendapat pulangan RM20,000 itu, mangsa diminta menambah pelaburan sebanyak RM50,000 iaitu RM30,000 secara tunai manakala bakinya menerusi pembelian 80 ekor kambing untuk diserahkan kepada suspek.  

Peniaga itu bagaimanapun merasa curiga kerana tidak menerima pulangan keuntungan selepas membuat pelaburan ketiga. 

“Setelah membuat semakan, mangsa mendapati suspek tidak pernah membuat ternakan kambing dan terdapat beberapa lagi individu termasuk rakan mangsa juga terperdaya dengan pelaburan itu,” katanya.

Mangsa yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu semalam turut menyerahkan rakaman video pembayaran wang pelaburan kepada suspek.

Azli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.           

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan