KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu bagi sesi 2025-2028.
Rafizi menerusi hantaran di X memaklumkan beliau sudah selesai mendaftar pencalonan bagi jawatan itu hari ini.
“Setelah dua kad kredit kena reject, satu kad debit reject, bank akaun exceed limit, akhirnya berjaya bayar yuran pencalonan.
“Saya baru sahaja selesai mendaftar sebagai calon Timbalan Presiden (Parti) Keadilan (Rakyat) bagi pemilihan ini,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu memenangi jawatan tersebut setelah menewaskan bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 2022.
Semakan di laman sesawang pemilihan PKR mengesahkan pencalonan beliau sekali gus menjadikan saingan setakat ini satu lawan satu dengan Naib Presiden parti berkenaan Nurul Izzah Anwar yang turut mendaftar bagi merebut jawatan nombor dua itu.
Terdahulu, Nurul Izzah mengesahkan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.
Menerusi kenyataan hari ini, Naib Presiden PKR itu memaklumkan sekiranya perwakilan yakin beliau layak menggalas tanggungjawab serta amanah besar, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan khidmat terbaik demi parti.
Pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 membabitkan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan berlangsung selama dua hari bermula semalam secara dalam talian.
Tempoh pencalonan akan ditutup pada 11.59 malam ini.
Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat MPP, Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (MPAMK) dan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan (MPWK) akan diadakan pada 23 Mei ini sempena Kongres Nasional PKR di Johor Bahru.
-- BERNAMA