AM

PERMINTAAN TUBUH TAMU DESA DI SABAH, SARAWAK CECAH RM40 JUTA - EWON

09/05/2025 10:05 PM

TAWAU, 9 Mei (Bernama) -- Permintaan untuk menubuhkan Tamu Desa di Sabah dan Sarawak mencecah RM40 juta, melebihi peruntukan RM10 juta yang disediakan kerajaan tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata mesyuarat akan diadakan bagi mempertimbangkan semua permohonan yang dikemukakan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurut beliau, pembinaan Tamu Desa terbukti memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak, sekali gus menarik lebih banyak penyertaan daripada peniaga kecil yang sedia ada.

“Oleh kerana jumlah permintaan tinggi, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri bagi menyelaras permohonan ini secara berperingkat setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tamu Desa Kampung Piuludan, Andrassy, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ewon berkata Tamu Desa merupakan antara inisiatif di bawah Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang dilaksanakan Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa program tersebut akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memandangkan impaknya terhadap ekonomi setempat amat signifikan.

Katanya Tamu Desa Kampung Piuludan yang kini beroperasi setiap hari Sabtu merupakan tamu ke-98 yang diwujudkan di Sabah dan Sarawak sehingga tahun lepas.

“Bagi tahun lepas sahaja, sebanyak 49 Tamu Desa telah dibina di Sabah dan 49 lagi di Sarawak, melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM19 juta,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu adalah antara usaha berterusan kerajaan melalui KUSKOP dalam memberikan tumpuan pembangunan yang lebih menyeluruh kepada Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan