KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan beliau menawarkan diri sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada pemilihan sesi 2025-2028 bukanlah kerana jawatan.
Sebaliknya beliau berkata keputusan itu demi kerana amanah perjuangan.
"Sudah lebih dua setengah dekad kita bersama di dalam gerakan Reformasi ini - dari jalan raya ke Putrajaya, dari menuntut keadilan buat individu teraniaya, kepada usaha membina semula sistem yang lebih adil dan telus untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menteri Komunikasi itu turut percaya PKR bukan hanya sebuah parti politik, tetapi wadah reformasi berasaskan prinsip.
Beliau berkata untuk itu, kepimpinan pusat mesti mencerminkan nilai-nilai integriti, ketekunan, dan keberanian yang diwarisi sejak 1998.
"Saya mohon kepercayaan saudara-saudari untuk sama-sama mengangkat KEADILAN (PKR) ke tahap yang lebih tinggi. Bukan untuk kita saja, tetapi untuk generasi yang akan datang," kata Fahmi.
Proses pencalonan pemilihan parti yang berakhir 11.59 malam tadi menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandangnya iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim merupakan calon tunggal bagi jawatan Ketua AMK manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.
-- BERNAMA