JERTIH, 10 Mei (Bernama) -- Golongan belia terus menjadi kelompok terbesar dalam kes penyalahgunaan dadah di Malaysia, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.
Beliau berkata statistik tahun lepas menunjukkan individu berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun berada pada kelompok tertinggi iaitu sebanyak 115,714 orang atau 60 peratus daripada keseluruhan 192,857 penagih yang ditahan.
“Jumlah itu adalah peningkatan drastik iaitu sebanyak 32.5 peratus berbanding 145,526 orang pada tahun sebelumnya (2023).
“Di Terengganu, 56 peratus atau 6,800 penagih adalah golongan itu daripada sejumlah 12,004 penagih yang direkodkan setakat tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Sua Mesra Ketua Pengarah AADK di Dewan Terbuka Gong Kemuntong di sini hari ini.
Ruslin berkata sebahagian daripada mereka terlibat dengan pengambilan dadah sintetik seperti pil yaba atau lebih dikenali sebagai pil kuda.
“Ibu bapa dan pihak sekolah perlu memainkan peranan dalam membendung gejala ini sebelum ia terus merosakkan kehidupan anak-anak kita.
“Saya percaya jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, penglibatan belia dalam penyalahgunaan dadah akan dapat dikurangkan,” katanya.
-- BERNAMA